Vincent Kompany akan tampil bersama Manchester City buat kali terakhir dalam aksi testimonial yang akan berlangsung pada September nanti.

Kompany mengesahkan Ahad lalu bahawa dia akan meninggalkan kelab itu selepas 11 tahun untuk memegang peranan pemain dan pengurus bersama bekas pasukan, Anderlecht.

Bintang Belgium itu beraksi buat kali terakhir secara rasmi bersama City ketika membenam Watford 6-0 dalam aksi final Piala FA menentang Watford, sekali gus mengesahkan kejuaraan ketiga musim ini.

Dia mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong City ketika perarakan trofi Piala FA, Liga Perdana Inggeris dan Piala EFL semalam sambil pengendali, Pep Guardiola, menegaskan Kompany akan kembali ke City satu hari nanti.

Kompany bakal kembali lebih awal selepas pihak kelab mengesahkan dia akan mengetuai barisan 'Legenda City' menentang 'All-Stars' Liga Perdana Inggeris pada 11 September depan di Etihad.

Perlawanan itu akan menyalurkan wang kepada tabung amal Tackle4MCR, satu badan yang dibantu pertahanan itu bersama Datuk Bandar Manchester, Andy Burnham.

"Pilihan City yang terdiri daripada skuad beberapa tahun terakhir dan sekarang akan beraksi sekali lagi bersama kapten itu sambil beberapa bekas bintang Liga Perdana Inggeris bakal mewakili pasukan lawan," kata wakil kelab.