EVERTON 1 CRYSTAL PALACE 1

Ronald Koeman memuji prestasi cemerlang Everton walaupun sekadar seri 1-1 dengan Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Goodison Park, awal pagi tadi.

Penyerang kebangsaan Belgium, Romelu Lukaku, membuka jaringan buat The Toffees pada minit ke-35 melalui sepakan percuma.

Christian Benteke berjaya menyelamatkan pasukan pelawat selepas melepaskan tandukan untuk menewaskan penjaga gol Everton, Maarten Stekelenburg, empat minit selepas separuh masa kedua bermula.

Koeman melihat keputusan seri ini sebagai satu persembahan mantap yang telah ditonjolkan oleh anak buahnya.

Pengendali dari Belanda itu mahu melihat peningkatan dalam permainan Everton selepas tewas 1-0 kepada Bournemouth dan berpuas hati dengan usaha pemain.

"Prestasi pasukan berada di tahap terbaik," jelas Koeman kepada Sky Sports.

"Sememangnya kami mahu menjana lebih banyak peluang, kami mampu menggandakan jaringan menerusi percubaan Idrissa Gueye pada babak kedua perlawanan, tetapi Palace berjaya menyamakan kedudukan dan jaringan Damien Delaney telah dibatalkan kerana berada di kawasan ofsaid.

"Mungkin ofsaid ataupun tidak, saya tidak tahu. Sukar untuk memahami keputusan pengadil dan mungkin dia telah melakukan kesilapan.

"Ia merupakan mata yang penting -- anda mahu memenangi perlawanan di laman sendiri, terutama apabila telah mendahului perlawanan 1-0.

"Kami telah cuba untuk menyerap tekanan daripada sebuah pasukan yang kuat. Mereka berjaya menyempurnakan peluang mereka.

"Anda tidak boleh menghentikan setiap hantaran silang, malah hantaran jauh dari bahagian tengah. Kami telah melakukan yang terbaik ketika bertahan, tetapi terdapat pemain berkualiti yang anda harus fahami."