HULL CITY 2 EVERTON 2

Ross Barkley menerima pujian pengurus Everton, Ronald Koeman, selepas meledak gol penyamaan ketika seri 2-2 dengan Hull City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium KCOM.


Persembahan pemain tengah itu sering dipersoalkan musim ini dan Koeman mengakui pemain berusia 23 tahun itu gagal mempamerkan kualiti yang sebenar.

Tetapi pengendali kelahiran Belanda itu memberikan pujian selepas Barkley menanduk masuk gol pada minit ke-84 bagi memastikan The Toffees membawa pulang satu mata.

"Barkley adalah pemain yang penting buat pasukan," kata Koeman.

"Dia telah mempamerkan aksi yang mantap dalam perlawanan ini.

"Kami bermain dengan baik dan mencipta banyak peluang untuk mencari gol. Pemain-pemain telah mempamerkan semangat mereka, kami tidak bernasib baik untuk memenangi perlawanan selepas tandukan Dominic Calvert-Lewin gagal menembusi gawang gol lawan."