Pengurus Everton, Ronald Koeman, tidak bersetuju dengan pendapat bahawa tekanan buatnya semakin meningkat selepas sekadar seri 1-1 ketika menentang Brighton and Hove Albion dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

Aksi longlai skuad Toffees diselamatkan oleh sepakan penalti Wayne Rooney untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata selepas jaringan Anthony Knockaert memberikan pendahuluan buat Brighton.

Bagaimanapun, Koeman jelas tidak gusar dengan keputusan tersebut sambil menyifatkan kehidupan bola sepaknya sentiasa menjadi perhatian ramai.

"Kehidupan bola sepak saya diselubungi tekanan.

"Jika saya tidak menerima tekanan dari luar, saya akan menciptanya untuk diri saya sendiri. Kami meraih satu mata dan bagi saya, kami layak menerimanya.

"Everton sedang berada dalam situasi sukar tetapi apa yang kami boleh lakukan adalah sentiasa berjuang seperti ketika bertemu Brighton," ujarnya.

Koeman juga menambah pasukannya menunjukkan dominasi dalam perlawanan apabila menguasai bola hampir dalam seluruh permainan.

"Kami mendapatkan penguasaan bola lebih tinggi. Selepas ketinggalan 0-1, kami menampilkan watak yang sebenar dan mungkin boleh menang pada saat-saat akhir," katanya.

Sementara itu, pengendali Brighton, Chris Hughton, meluahkan kekecewaan selepas dinafikan peluang meraih tiga mata pada minit-minit akhir perlawanan.

"Saya amat kecewa dengan keputusan ini kerana gol saat akhir membuatkan anda berasa seperti tewas.

"Bagi saya, kami mempunyai nilai yang tinggi, menyebabkan saya amat kecewa apabila gagal menang dengan cara sebegitu. Everton bermain lebih baik tetapi saya tidak nampak mereka mampu menjaringkan gol," katanya.