Pengurus Everton, Ronald Koeman, berkata dia mahukan reaksi daripada Ross Barkley selepas dia diletakkan di bangku simpanan ketika perlawanan menentang Manchester United.

Pemain tengah berusia 23 itu menonton dari bangku pemain simpanan ketika pasukannya bangkit untuk mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad lalu.

Ia merupakan perkembangan terbaru dalam kempen yang menyaksikan Barkley kerap dikritik oleh Koeman dan kehilangan tempat dalam skuad England.

Bercakap mengenai perlawanan di Watford esok, Koeman memaklumkan ia adalah persembahan Barkley, bukan sikapnya, yang menjadi kebimbangan utama.

"Kadang-kadang ia boleh menjadi sebab taktikal, kadang-kadang saya mengharapkan lebih daripada Ross Barkley," kata Koeman.

"Tetapi saya mengharapkan aksi yang lebih menyerang daripada pemain. Dia perlu menerimanya. Reaksi yang perlu ditunjukkannya ketika di padang latihan.

"Itu merupakan cara yang terbaik. Dia sentiasa mencuba untuk menunjukkan yang terbaik tetapi ia bukan sentiasa mengenai mentaliti pemain -- ia mengenai taktik, gerakannya, produktiviti dan mereka semua boleh menjadi sebab utama mengapa dia tidak berada di dalam kesebelasan utama minggu lalu.

"Dia sebahagian daripada pasukan. Dia banyak beraksi. Dia tidak bermain hujung minggu lalu. Jika anda suka untuk bermain, anda perlu menunjukkannya kepada pengurus sepanjang minggu.

"Dia cuba untuk berbuat demikian tetapi dia adalah salah seorang pemain yang perlu untuk menjadi lebih produktif."

Everton menduduki tangga kelapan dalam liga tetapi hanya menang sekali dalam sembilan perlawanan terakhir liga.