Pengendali Everton, Ronald Koeman, menjelaskan Ross Barkley mungkin bernasib baik hanya dilayangkan kad kuning kerana terjahan liar ke atas kapten Liverpool, Jordan Henderson, dalam aksi 'derby' Merseyside, namun mempersoalkan mengapa Dejan Lovren dibenarkan terus beraksi di atas padang.

Barkley dilayangkan kad kuning pada minit ke-68 dalam aksi yang kurang bermaya selepas melakukan terjahan keras ke arah buku lali Henderson.

Henderson, bagaimanapun, mampu meneruskan perlawanan untuk menyaksikan The Reds memenangi perlawanan itu selepas Sadio Mane membuka jaringan di penghujung perlawanan.

Bagaimanapun, Koeman tidak pasti sama ada reaksi Lovren mengenai terjahan Barkley apabila menolak Seamus Coleman, namun tidak dihukum oleh pengadil perlawanan, Mike Dean.

"Jika saya boleh berkata sesuatu kepada pengadil, mengapa memberikan kad kuning kepada Coleman dan tidak kepada Lovren? Dia sepatutnya meninggalkan padang kerana sudah dilayangkan kad kuning sebelum ini," katanya kepada Sky Sports.

Jaringan Mane pada minit ke-94 ternyata mengecewakan Koeman dan pemain-pemainnya selepas bertungkus-lumus untuk mengecewakan pasukan lawan.

"Saya berasakan kami telah bermain dengan baik. Kami mempamerkan aksi yang mantap dalam separuh masa pertama. Kami bermain dengan agresif dan memiliki peluang untuk menjaringkan gol.

"Dalam separuh masa kedua, pemain gantian Liverpool telah memberikan impak yang besar kepada perlawanan ini, kekalahan ini amat mengecewakan kami."