Pengurus Leeds United, Marcelo Bielsa, mengikat pertahanan Jerman, Robin Koch, dengan satu lagi perjanjian menarik sebaik menandatangani Rodrigo Moreno.

Semalam, Koch disahkan sebagai penambahan terbaru dalam skuad Liga Perdana Inggeris (EPL) yang baru dinaikkan pangkat itu yang menyaksikannya memeterai perjanjian selama empat tahun, dengan mengatakan kehadiran pengurus veteran berkenaan sebagai faktor utama.

Leeds sedang mempunyai persiapan rapi bagi mengharungi musim EPL pertama mereka sejak 2003-04 dan bekas finalis Liga Juara-Juara (UCL) itu bertekad untuk memperkemaskan pasukan berbanding ketika bersaing dalam Liga Kejuaraan.

Selepas pemain antarabangsa Sepanyol, Rodrigo, tiba dengan harga £26 juta (RM144.6j) daripada kelab LaLiga, Valencia, Leeds dikatakan telah mengetepikan seteru EPL lain untuk mendapatkan sentuhan Koch.

Bagaimanapun, tiada perincian mengenai jumlah pampasan perpindahan itu ditawarkan walaupun laporan mengatakan Leeds mungkin membayar hampir £20j (RM111.2j) untuk mendapatkan bek tengah berusia 24 tahun itu yang mula membuat kemunculan antarabangsa tahun lalu.

Koch memberitahu LUTV: "Marcelo Bielsa adalah salah satu sebab utama saya menyertai Leeds. Semua orang memberitahu dia merupakan salah seorang pengurus terbaik dan saya amat teruja untuk mengikuti sesi pertama bersama pasukan dan pengurus.

"Leeds adalah kelab besar dan selepas memenangi liga divisyen kedua tahun lalu, Leeds telah kembali."

Dia menambah: "Sudah tiga tahun saya beraksi dalam Bundesliga yang juga pentas merupakan besar, tetapi saya fikir EPL adalah langkah seterusnya bagi saya."