Klopp yakin pemain tidak angkat kaki tanpa UCL

Oleh Shaiful Shamsudin 6 Mac 2021 1655
Klopp yakin pemain tidak angkat kaki tanpa UCL
Jurgen Klopp tidak mempunyai keraguan terhadap kesetiaan anggota skuad Liverpool tetapi jika ada yang mahu angkat kaki, maka mereka tidak akan menutup pintu.

Prestasi suram Liverpool berlanjutan semalam apabila ditundukkan Chelsea 0-1 -- memahat rekod kelab menerusi kekalahan kelima berturut-turut di Anfield. 

The Reds belum memenangi perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman sendiri sejak 16 Disember lalu sementara tercicir empat mata untuk perebutan slot Liga Juara-Juara (UCL) dengan baki 12 perlawanan.

Di atas kertas, aksi menentang Fulham esok sekurang-kurangnya menawarkan peluang menarik buat juara bertahan itu untuk kembali ke landasan tepat, namun mereka perlu berwaspada memandangkan hanya mampu seri 1-1 di Craven Cottage pada awal kempen kali ini. 

Di bawah sentuhan Kloop, Liverpool belum pernah tewas dalam EPL apabila menentang pasukan promosi, apatah lagi Fulham hanya menang dua kali daripada 26 perlawanan ketika menentang juara bertahan selepas berhasil mengalahkan Ipswich Town 1-0 pada Mac 1963 serta Manchester United 3-1 pada Oktober 2003.

Dengan gelaran yang semakin jauh daripada jangkauan, Klopp mengakui satu-satunya misi mereka adalah untuk mencapai kedudukan empat teratas walaupun berdepan persaingan sengit untuk memintas West Ham, Everton, Chelsea, Leicester City dan Manchester United sementara peluang Tottenham , Aston Villa dan Arsenal untuk mengejar kedudukan The Reds juga masih terbuka. 

Ditanya apakah dia bimbang kehilangan tempat dalam UCL boleh mengundang penghijrahan bintangnya, Klopp menjelaskannya dalam sidang akhbar: "Itu tidak perlu kami bimbangkan.

"Saya tahu bahawa kami mempunyai kesetiaan pemain. Saya cukup mengenali mereka. Sekiranya pemain mahu pergi kerana kami tidak bermain dalam UCL, saya juga tidak menginginkannya berlaku. Tetapi tiada apa-apa yang dikhuatiri.


 

"Kami semua mengharapkan lebih banyak kejayaan lagi. Kami realistik terhadap perkara-perkara yang kami lakukan. Saya tidak rasa mereka akan meninggalkan saya sendirian dalam kebakaran. 

"Tiada sesiapun di kelab ini yang bercakap pasal itu, pengurusan juga tidak membincangkannya. Di Jerman, biasanya CEO (ketua pegawai eksekutif) akan menghadapi soalan sebegini. Situasi di sini berbeza. Pemilik mahu saya menyelesaikan masalah."

Sekiranya senario terburuk berlaku, Klopp yakin ia hanya bersifat sementara.

"Kelab ini bukannya selalu tersisih dalam UCL," tambahnya. 

"Berdasarkan potensi dan kekuatan, pasukan dan pemain ini -- jika ramai yang tidak tercedera, kami pasti bersedia untuk bersaing.

"Kelab ini berada dalam kedudukan yang sangat baik dalam masa-masa sukar, lebih baik daripada yang lain saya katakan. Tiada apa yang perlu dibimbangkan tentang masa depan, ia di tangan yang baik. Itulah asas terbaik untuk masa depan yang baik."


 
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen