Klopp yakin Liverpool layak ke UCL musim depan

Oleh Penulis Jemputan 26 Disember 2017 448
Klopp yakin Liverpool layak ke UCL musim depan
Jurgen Klopp menggesa Liverpool supaya kekal positif dalam usaha memastikan mereka akan layak ke saingan Liga Juara-Juara (UCL), musim depan.

Klopp menyedari Liverpool berdepan tugas rumit berdepan pasukan tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL), Swansea, di Anfield serta ketinggalan 20 mata kepada pendahulu liga, Manchester City, menamatkan harapan mereka untuk mencabar takhta yang semakin terkubur.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Jerman itu percaya mereka masih lagi berpeluang untuk mengakhiri saingan dalam kelompok empat terbaik.

"Kami perlu layak ke UCL dan perlu mengakhiri saingan sebaik mungkin," kata Klopp.

"Liverpool boleh menamatkan saingan di tempat kedua, ketiga atau keempat tahun ini. Kami berada dalam situasi yang sangat baik.

"Ia adalah sasaran kami dan Liverpool perlu mempertingkatkan mutu permainani di setiap bahagian.

"EPL adalah satu saingan yang sukar, ia memerlukan aksi yang konsisten dalam setiap perlawanan.

"Berdepan Swansea, kami tidak boleh lagi kehilangan mata dan cuba untuk memberikan yang terbaik," katanya.

Klopp menegaskan Swansea tidak boleh dianggap sebagai lawan mudah kerana berada di kedudukan tercorot liga membuatkan mereka lebih agresif untuk mencari kemenangan.

"Mereka dalam keadaan tertekan dan Swansea hanya bersaing untuk kekal dalam liga.

"Tetapi kami akan bersedia menghadapi perlawanan ini. Kami akan berusaha untuk mengelak daripada melakukan kesilapan," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen