Jurgen Klopp yakin akan kekal bersama Liverpool dalam tempoh masa yang panjang walaupun jawatan pengurus yang dipegangnya kini dikatakan dalam bahaya.

Mula menyertai The Reds pada 2015, Klopp kini semakin tertekan selepas hanya meraih dua kemenangan sejak Ogos lalu, termasuk dimalukan Tottenham Hotspur 4-1, hujung minggu lalu.

Liverpool kini menduduki tangga kesembilan liga dan 12 mata ketinggalan di belakang pendahulu, Manchester City, sekaligus menimbulkan persoalan mengenai masa depannya, namun Klopp tetap tenang.

"Saya menerima banyak pesanan agar mengabaikan setiap apa yang diperkatakan oleh orang lain.

"Mungkin orang ramai berfikiran bahawa saya orang yang tepat untuk mengemudi pasukan. Baiklah, cuba mulakan semula seperti dua tahun lalu, dapatkan pengurus baru dan masalahnya tetap sama.

"Saya sedar saya perlu bertanggungjawab 100 peratus dengan segala-galanya pada hari ini tetapi saya tidak rasa masalah itu daripada saya," katanya.

Dalam masa sama, Klopp juga menyifatkan kewujudan pemain-pemain seperti Ben Woodburn dan Rhian Brewster juga memainkan peranan dalam perkara itu.

"Saya akan kekal berada di sini, itu sudah pasti.

"Saya telah diyakinkan bahawa saya akan terus bersama pasukan apabila mereka tiba," tambahnya.