Jurgen Klopp berpesan kepada anak buahnya di Liverpool bahawa mereka mampu memiliki masa depan yang cerah sekiranya terus mempamerkan peningkatan.

Pemain seperti Curtis Jones dan Neco Williams -- masing-masing berusia 19 thaun -- diberi kesempatan untuk memperkuatkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) yang baru ditabalkan itu ketika terikat 1-1 dengan Burnley Sabtu lalu, sementara Harvey Elliott yang baru mencecah umur 17 tahun telah membuat dua kemunculan liga musim ini.

The Reds memerlukan tiga kemenangan daripada tiga perlawanan liga terakhir untuk mengatasi pungutan 100 mata yang dilakukan Manchester City.

Klopp, yang pasukannya akan bertandang Arsenal awal pagi Khamis ini, berkata pemain muda kelab itu masih mempunyai banyak masa untuk berkembang.




"Saya tidak pasti betapa tinggi nilai taruhannya, ia mengenai sejauh manakah mereka bersedia?" kata pengurus berbangsa Jerman itu kepada media UK melalui Mirror.

"Bagi saya tiada istilah pemain tua atau muda, cuma hanya ada pemain yang bagus dan tidak begitu baik jadi saya harap kami dapat mengekalkan pemain yang bagus, pemain yang luar biasa.

"Masalahnya, ia tidak hanya membabitkan bintang muda, malah termasuklah tonggak dalam skuad utama -- pasukan ini benar-benar bagus. Adalah sukar untuk beraksi dalam 40 perlawanan berturut-turut.

"Begitupun, pemain muda memiliki banyak masa lagi untuk mereka memperbaiki permainan dan tidak berdepan tekanan, apatah lagi kalau ia hadir bukan daripada kami sendiri. Sekiranya mereka memanfaatkan masa, maka masa depan mereka adalah cerah."

Setelah mengunjungi Arsenal, Liverpool akan menjadi tuan rumah kepada Chelsea sebelum berkunjung ke Newcastle United.