Jurgen Klopp mahu Liverpool mempamerkan aksi yang lebih konsisten selepas membenam Bournemouth 4-0 yang sekaligus meletakkan The Reds kembali dalam kelompok empat terbaik saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Skuad kendalian Klopp itu seri dalam dua perlawanan sebelum ini di Anfield ketika bertemu Everton dan West Brom tetapi kembali ke landasan kemenangan ketika bertemu Bournemouth hasil jaringan Philippe Coutinho, Dejan Lovren, Mohamed Salah dan Roberto Firmino.

Kemenangan di Stadium Vitality itu menyaksikan Liverpool melonjak ke tangga keempat, yang membuat Klopp gembira dengan persembahan anak buahnya.

"Saya sangat berpuas hati dengan keputusan ini. Kami telah bermula dengan baik dan seharusnya melakukan perkara yang sama dalam setiap perlawanan," kata Klopp.

"Kami menyedari mereka mampu bermain jika anda membenarkan mereka, mereka memiliki peluang ketika bertemu Manchester United, jadi kami menyedari apa yang mampu berlaku. Kami berdisiplin dan bertahan dengan baik."

Coutinho cemerlang dengan turut melakukan dua bantuan jaringan tetapi Klopp menjelaskan beliau masih tidak tahu mengenai masa depan pemain kebangsaan Brazil itu.

"Buat masa ini, ia adalah perkara yang menarik untuk membincangkan mengenai masa depan Coutinho. Perkara ini sering kali menjadi perbualan utama sejak saya tiba di Anfield.

"Tetapi kami tidak tahu sama ada perpindahannya ke Barcelona akan berlaku ataupun sebaliknya. Kami perlu menunggu untuk beberapa minggu lagi."