ASTON VILLA 1 LIVERPOOL 2

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, tidak menyangka pasukannya bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Aston Villa dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Villa Park lewat malam tadi.


Tandukan Andy Robertson dan Sadio Mane pada lewat permainan membenarkan pendahulu liga itu untuk mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang musim ini.

Kemenangan itu turut menyaksikan The Reds kini tidak pernah kalah dalam 28 perlawanan Liga Perdana sejak tewas 1-2 kepada Manchester City, Januari lalu.

Walaupun menyedari kemampuan pasukannya, Klopp seakan-akan tidak percaya jaringan penyamaan Robertson merupakan petanda bahawa mereka akan meraih satu lagi kemenangan dramatik.

"Tidak," kata Klopp sebagai menjawab pertanyaan sama ada dia sudah menjangkakan gol kemenangan dalam waktu kecederaan itu.

"Tetapi jika cukup masa, saya tahu mereka akan mencuba untuk mendapatkannya (gol kemenangan).

"Apabila kami menyamakan kedudukan, saya fikir itulah keputusan yang selayaknya untuk kami.

"Ada beberapa perkara yang saya tidak gemar dalam babak pertama tetapi ia tidak cukup untuk membuatkan kami tewas, dengan semangat yang kami paparkan dalam babak kedua.

"Sejujurnya, ia agak mendebarkan.

"Saya tidak berapa menggemarinya.

"Kami berdepan pasukan yang mahu bersaing tetapi tidak cukup bagus untuk menyudahkan peluang.

"Sudah pasti ia sukar buat kami.

"Kami menjaringkan gol yang saya tidak tahu mengapa ia dikatakan ofsaid tetapi ia sudah tidak penting lagi.

"Kami kekal beraksi baik dan mencuba segala-galanya, menjadi lebih baik dan baik, ia amat mencemaskan.

"Semuanya tidak kena tetapi kami menjaringkan gol pertama yang amat cantik.

"Gerakan set-piece yang kami amalkan dalam beberapa perlawanan lalu berguna pada waktu-waktu penting.

"Sudah pasti Aston Villa tidak bernasib baik tetapi kami amat dominan hari ini.

"Ia amat jelas walaupun mereka layak mendapat sesuatu berdasarkan apa yang telah dipamerkan.

"Ia pasti tidak seronok tetapi kami pasukan yang lebih layak menang," katanya.

Trezeguet terlebih dahulu meletakkan Villa di depan dalam babak pertama dan Liverpool sepatutnya menyamakan kedudukan lebih awal, namun gol Roberto Firmino dibatalkan kerana ofsaid.

Video bantuan pengadil (VAR) digunakan tetapi ia tidak mengubah keputusan itu.

Dan walaupun Liga Perdana menerusi kiriman media sosialnya telah mengesahkan lengan Firmino berada di posisi ofsaid, Klopp masih tidak bersetuju dengan keputusan itu.

"Mereka memerlukan lebih daripada seminit untuk mencari gambaran bahawa Bobby ofsaid," katanya mengenai insiden itu.

"Apa lagi yang saya boleh katakan?

"Sewaktu mengenalkannya (sistem itu) kepada kami, amat mudah untuk menentukan kedudukan ofsaid.

"Kali ini, seseorang perlu berusaha terlalu gigih untuk menemukan bahagian tubuh Bobby yang ofsaid dan pada akhirnya, dia ofsaid.

"Saya fikir tiada siapa yang 100 peratus gembira.

"Pengadil juga tidak 100 peratus gembira, jadi bagaimana saya boleh gembira?

"Saya tidak marah kerana kami menang tetapi jika kami tewas, ia mungkin berbeza," katanya lagi.