Jurgen Klopp tidak akan menurunkan pemain barunya, Ben Davies dan Ozan Kabak, dalam perlawanan penting di antara Liverpool dan Manchester City awal pagi Isnin ini.

Davies dan Kabak melengkapkan perpindahan ke Anfield, masing-masing dari Preston dan Schalke, pada hari terakhir jendela perpindahan ketika Klopp mencari penyelesaian terhadap masalah kecederaan pasukannya di bahagian pertahanan tengah.

Joel Matip tidak dapat beraksi sehingga penghujung musim ini berikutan kecederaan ligamen buku lali dan akan menyertai senarai kecederaan jangka panjang yang turut melibatkan Virgil van Dijk dan Joe Gomez.

Davies merupakan pemain simpanan yang tidak diturunkan ketika Liverpool memilih untuk menggandingkan Nat Phillips dan kapten, Jordan Henderson, di posisi pertahanan tengah dalam kekalahan 0-1 kepada Brighton and Hove Albion, Rabu lalu -- kekalahan yang meletakkan juara bertahan itu ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu liga, Manchester City, yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Klopp mengakui bahawa ia merupakan sesuatu yang amat baik seandainya dapat meletakkan Henderson dan Fabinho di posisi asal mereka di bahagian tengah tetapi tidak akan melakukan perkara itu bagi mengekalkan kestabilan dalam pasukannya.

"Kini kami memiliki pilihan berbeza dan ia sesuatu yang bagus, berita terbaik buat kami.

"Kini kami perlu memastikan pemain baru ini mendapat maklumat yang diperlukan mereka secepat mungkin.

"Di posisi lain, anda boleh kata 'bermain, mencuba dan kita akan lihat' tetapi di bahagian pertahanan, kami melakukan perkara yang amat jelas.

"Ia tentang mengekalkan barisan itu, ia tentang meletakkan pemain pada waktu yang betul -- terdapat banyak perkara berbeza yang dilakukan setiap pasukan. Kami akan melihat seberapa cepat kami boleh melakukannya," katanya.

Ditanya sama ada dia akan menurunkan kedua-dua pertahanan baru itu serentak, Klopp menggelengkan kepalanya sambil berkata: "Tidak, jika saya tidak perlu melakukannya, saya tidak akan melakukannya."