Jurgen Klopp mengatakan tiada peluang Liverpool untuk menandatangani Lionel Messi selain sangsi apakah ketua pasukan Barcelona itu akan menyertai Manchester City.

Messi telah memberitahu Barca bahawa dia ingin meninggalkan pasukan gergasi Catalan itu, sekali gus memacu spekulasi hangat mengenai kelab berpotensi yang mampu mendapatkan khidmatnya musim depan.

Semalam, Klopp menyatakan bahawa mana-mana pengurus di dunia sekalipun pasti akan menyambut kehadiran Messi tetapi menolak kemungkinan bahawa juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bakal memancing pemenang enam kali Ballon d'Or berkenaan.

Menjelang pertemuan Piala Perisai Komuniti bertemu Arsenal malam ini, dia berkata: "Minat (terhadap Messi)? Siapa yang tidak mahu memiliki Messi dalam pasukan mereka? Tetapi kami tidak mempunyai kesempatan. Tetapi secara jujurnya dia seorang pemain yang bagus!"

The Citizens muncul pasukan pilihan untuk memikat Messi ke EPL tetapi pengurus berbangsa Jerman itu meragui kedatangan bintang berusia 33 tahun tersebut di England.

Menurut Klopp lagi: "Jelas sekali ia akan menjadikan Man City lebih sukar untuk dikalahkan. Bagi EPL, ia akan sangat bagus dan akan membantu, tetapi saya tidak pasti bahawa EPL memerlukan peningkatan seperti ini.

"Dia tidak pernah beraksi dalam liga lain. Bola sepak berbeza di sini. Saya ingin melihatnya. Saya tidak pasti akan membuat tawaran."

Dalam masa sama, Klopp mendedahkan Trent Alexander-Arnold dalam keraguan untuk menghadapi The Gunners di Wembley berikutan kecederaan ringan.

Pengurus The Reds itu menjelaskan pemain berkenaan masih perlu membuat persiapan rapi biarpun sudah kembali berlatih sejak berehat selepas mengungguli liga bulan lalu.