Klopp teruja aksi pemain dalam 'derby' Merseyside

Oleh Staff Writer 5 Disember 2019 433
Klopp teruja aksi pemain dalam 'derby' Merseyside
Jurgen Klopp tidak meragui kemampuan skuad Liverpool tetapi lega pemain simpanan yang diturunkan mampu menyinar dalam aksi setempat Merseyside.

Awal pagi tadi, Liverpool mudah membenam Everton 5-2 di Anfield sambil Klopp menikmati kemenangan ke-100 Liga Perdana Inggeris.

Ia menjadi rekod baru kelab tatkala The Reds meneruskan rekod tanpa kalah kepada 32 perlawanan sejak tewas di tangan Manchester City, Januari lalu.

Divock Origi meledakkan dua gol untuk menjadikan jumlah keseluruhannya dalam aksi setempat dengan lima jaringan sambil Xherdan Shaqiri melengkapkan penampilan pertama dalam kesebelasan utama musim ini dengan satu gol dan Sadio Mane serta Georginio Wijnaldum melengkapkan kemenangan.

"Saya banyak bercakap tentang kualiti pemain dalam skuad, jadi saya perlu tunjukkannya sepanjang masa tetapi pemain telah membuktikan bahawa mereka boleh beraksi dengan baik," katanya.

"Ia hebat. Jaringan Origi, hantaran Mane serta gerakan Shaqiri. Segalanya termasuk Adam Lallana yang berada di mana-mana sahaja dan kami menikmati banyak detik indah.

"Namun, sudah tentu benteng rapuh kerana lawan menyerang secara terus. Everton tidak mampu mengekang kami tetapi jelas sekali mereka banyak memberikan masalah kepada kami.

"Segalanya baik ketika 4-1 dan jaringan kedua lawan tidak menggembirakan saya kerana ia dalam waktu kecederaan dan kami mula menampilkan hantaran menyerang. Kami harus belajar, meningkatkan prestasi dan kami mampu melakukannya.

"Skuad tidak menjadi lebih besar pada hari ini. Saya tahu pemain sentiasa ada dan mereka adalah pemain bola sepak yang hebat.

"Ini adalah perlawanan pertama dalam jadual padat. Kami perlu dan akan melakukan perubahan. Saya sangat teruja dan gembira tetapi tidak meraguinya. Sudah tentu ia bukan untuk saya tetapi untuk semua, termasuk penonton. Mereka lebih yakin dengan pasukan."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen