Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, meredakan kebimbangan terhadap penjaring gol kemenangan, Mohamed Salah, yang mengalami kecederaan ketika mengatasi Tottenham 2-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield awal pagi tadi.

Pemain kebangsaan Mesir itu telah terlepas dua minggu daripada sebarang aksi selepas mengalami kecederaan buku lali pada permulaan bulan ini, memaksanya terlepas aksi berdepan Manchester United yang berkesudahan 1-1.

Salah kembali ke dalam pasukan ketika mengatasi Genk 4-1 dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), Rabu lalu, dan turun dalam kesebelasan utama berdepan Tottenham, dengan menjaringkan gol dalam kedua-dua perlawanan.

Bagaimanapun, pemain berusia 27 tahun itu kurang selesa dengan buku lalinya ketika membantu pasukan bangkit untuk menang 2-1 ke atas Spurs dan digantikan oleh Joe Gomez lima minit sebelum tamat permainan.

Virgil van Dijk turut mengalami kecederaan tetapi Klopp menepis setiap kebimbangan buat kedua-dua pemain itu.

"Van Dijk mengalami "dead leg" (kecederaan di bahagian paha). Ia sangat sakit tetapi saya berasakan dia tidak akan menghadapi masalah," katanya kepada Sky Sports. "Buku lali adalah masalah buat Salah -- ia semakin sakit selepas perlawanan melewati penghujung tetapi ia bukanlah isu besar.

"Kami memiliki beberapa pemain lain dan mengambil keputusan untuk mengeluarkan Salah.

"Tiada apa yang serius, setiap kecederaan itu akan reda dalam tempoh sehari."

Harry Kane membenarkan Tottenham mendahului seawal 47 saat di Anfield tetapi jaringan daripada Jordan Henderson dalam separuh masa kedua mematahkan keampuhan pelawat dan Salah memastikan kemenangan ke-12 berturut-turut buat Liverpool di laman sendiri menerusi sepakan penalti.

Klopp berpuas hati dengan cara pasukannya kekal tenang walaupun ketinggalan, dengan Paulo Gazzaniga menafikan beberapa percubaan sehinggalah jaringan berjaya dihasilkan Liverpool.

"Kami bermula baik tetapi cara kami dibolosi kurang bernasib baik," katanya. "Tottenham kemudian bertahan dengan cemerlang, serangan balas mereka amat menakjubkan.

"Tetapi kami tidak gementar, sebaliknya mengikut perancangan yang ditetapkan.

"Penjaga gol mereka berjaya melakukan beberapa tampanan yang berkualiti tetapi kami kekal tenang. Ketika rehat separuh masa, kami berkata perlawanan ini hanya memiliki satu masalah: jaringan. Terdapat satu atau dua perkara yang boleh diperbaiki pasukan."

Liverpool menghadirkan masalah buat Tottenham dengan memberikan tekanan, terutama dalam insiden yang menyaksikan Serge Aurier melakukan kesalahan terhadap Sadio Mane untuk sepakan penalti.

Klopp turut menambah dalam sidang media pasca-perlawanan dengan berkata, "Jaringan kedua merupakan hasil tekanan yang dipamerkan oleh Mane, mengawal bola, kehilangannya dua kali dan memaksa pertahanan untuk menyepak betis anda dan meraih sepakan penalti."

"Kami memenangi perlawanan ini dan gembira di atas persembahan yang ditampilkan."