Klopp tenang hadapi jendela perpindahan

Oleh Staff Writer 18 Julai 2019 1968
Klopp tenang hadapi jendela perpindahan
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, tenang menghadapi musim perpindahan dan walaupun dia kini bertumpu untuk meningkatkan kekuatan satu posisi, dia melihat juara Eropah itu tidak perlu panik.

Liverpool membawa masuk pertahanan berusia 17 tahun, Sepp Van Den Berg, daripada PEC Zwolle baru-baru ini sambil Daniel Sturridge dan Alberto Moreno meninggalkan pasukan.

Pemenang Liga Juara-Juara Eropah itu kini dikaitkan dengan beberapa pemain, termasuk bekas tonggak tengah, Philippe Coutinho, yang kini bersama Barcelona serta penggempur Lille, Nicolas Pepe.

Klopp, yang kini berada di Amerika Syarikat untuk aksi persahabatan pramusim, tetap tenang melihat perkembangan pasukannya di dalam pasaran.

"Kami agak tenang dengannya dan melihat apa yang berlaku," katanya.

"Apa yang saya katakan, ia tidak akan menjadi jendela perpindahan terbesar buat Liverpool. Kami melaburkan banyak wang untuk pasukan dalam dua tahun terakhir. Kami tidak boleh berbelanja setiap tahun dengan kadar yang sama.

"Orang ramai bercakap tentangnya, kini sekitar GBP300 juta (RM1.5 bilion) sehingga GBP200 juta (RM1.02 bilion). Mungkin hanya ada dua kelab, iaitu Barcelona dan Real Madrid, yang boleh melakukannya. Manchester City dan Paris Saint-Germain (PSG) juga begitu.

"Namun, kami baik-baik sahaja. Saya gembira dengan pasukan. Kami perlu lihat sekiranya satu posisi dan jika menemui jalan terbaik tetapi tiada tekanan kerana ia bukan tentang membawa masuk pemain. Kami mempunyai penyelesaian untuk semua situasi.

"Adakah kami memiliki penyelesaian yang mampu membuatkan semua orang gembira? Saya tidak fikir begitu kerana orang ramai mahukan sesuatu yang bertaraf dunia di sini, tidak kira di dalam padang atau di bangku simpanan. Ia tidak mudah tetapi kami akan berusaha."

Marko Grujic akan kekal dipinjamkan ke Hertha Berlin sambil Sheyi Ojo bersama Rangers bagi musim 2019-20.

Namun, Klopp tidak risaukan pasukan kendaliannya itu yang menamatkan saingan liga musim lalu dibezakan hanya satu mata dengan juara, Manchester City.

"Kami tetap tenang. Pemain muda di sini dan menikmatinya bersama kami," tambah Klopp.

"Perlu diingat Naby Keita dan Xherdan Shaqiri masih cedera dan tidak bersama kami di sini. Pemain akan kembali.

"Saya tidak sabar menunggu musim depan, ia pasti menyeronokkan."

Liverpool akan menentang Borussia Dortmund dalam aksi persahabatan esok.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen