Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, mengakui juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu berdepan laluan berliku untuk memikat pemain handalan tanpa tiket Liga Juara-Juara (UCL).

Klopp membantu kelab Merseyside itu mengakhiri penantian selama 30 tahun untuk dinobatkan sebagai juara liga musim lalu, sebaliknya bergelut bagi merealisasikan impian berkenaan musim ini.

Liverpool bukan setakat 22 mata di belakang pendahulu, Manchester City, malah mereka sekadar di kedudukan keenam sementara dua mata daripada kelompok empat pasukan teratas bagi perebutan tempat ke UCL.

The Reds sering dikaitkan dengan pemain sensasi Borussia Dortmund, Erling Haaland, dan bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, tetapi pengurus berbangsa Jerman itu memberi amaran mengenai status perpindahan yang mungkin terjejas pada musim depan menjelang pertembungan getir dengan di tempat kelima, Chelsea.



"Sebab utama untuk layak ke UCL adalah kewangan," katanya.

"Ia adalah kejohanan yang menarik untuk disertai tetapi bagi kelab ini, ia mengenai (kewangan).

"Sudah tentu kami ingin menggembirakan beberapa pemain.

"Pada mulanya perbincangan yang melibatkan kami dengan beberapa pemain ialah tawaran ke UCL tetapi selepas ini kami mungkin perlu berkata 'maaf, kami tidak dapat menawarkan apa-apa atau hanya Liga Europa!'

"Tetapi selain daripada itu, ia sentiasa menyentuh aspek kewangan. Begitu juga tahun ini.

"Saya harap orang masih melihat kami telah melakukan yang terbaik dan berusaha sehabis mungkin untuk menjelmakannya, apapun sama-sama kita lihat bagaimana ia berakhir kelak.

"Bukannya pemilik ada bertemu saya dan berkata 'jika anda tidak layak ke UCL maka ada sesuatu yang akan berlaku', kerana kami sekapal. Kamu memahami situasinya. Mereka tahu bahawa kami telah berusaha sebaik mungkin untuk sekali lagi memenuhi syarat ke UCL. Itu jelas. "

Sementara itu, Klopp bersedia untuk menyekat pemainnya daripada mewakili negara masing-masing dalam jadual antarabangsa hujung bulan ini berikutan protokol kuarantin 10 hari yang ditetapkan United Kingdom sebagai langkah menyekat penyebaran COVID-19.