Klopp: Shrewsbury layak ikat Liverpool

Oleh Staff Writer 27 Januari 2020 4766
Klopp: Shrewsbury layak ikat Liverpool
SHREWSBURY TOWN 2 LIVERPOOL 2

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berkata Shrewsbury Town layak mendapat perlawanan ulangan pusingan keempat Piala FA di Anfield selepas bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat juara kelab dunia itu 2-2 di Shropshire awal pagi tadi.


Curtis Jones meneruskan rentak jaringannya untuk meletakkan The Reds di depan dalam separuh masa pertama sebelum kelebihan itu digandakan apabila Donald Love terjaring gol sendiri pada awal babak kedua.

Pasukan Liga Satu (divisyen tiga), Shrewsbury, bagaimanapun, tidak mudah mengaku kalah dengan pemain gantian, Jason Cummings, menjaringkan gol berganda untuk menggembirakan penyokong pasukan tuan rumah itu.

Klopp menurunkan barisan pemain muda, pendekatan sama seperti ketika menentang seteru Merseyside, Everton, dalam pusingan ketiga, walaupun Dejan Lovren dan Joel Matip disenaraikan dalam kesebelasan utama manakala Mohamed Salah dan Roberto Firimino dimasukkan pada lewat permainan bagi mengelakkan perlawanan ulangan di Anfield.

Dan Klopp tiada sebarang rungutan mengenai keputusan itu memandangkan Shrewsbury telah melakukan kejutan terbesar dalam Piala FA musim ini.

"Kami memberikan terlalu banyak ruang buat pihak lawan hari ini, amat sukar untuk memenangi perlawanan ini," katanya kepada BBC Sport.

"Saya tidak fikir kami mempunyai masa untuk bercakap mengenai apa yang tidak betul hari ini.

"Kami menjaringkan gol yang amat cantik di mana ia bukan satu-satunya detik terbaik tetapi salah satu daripadanya.

"Selain itu, Adrian telah melakukan banyak perkara dan dia amat bijak.

"Dengan serangan balas yang mereka lakukan ketika kami kehilangan bola, itulah yang berlaku.

"Tahniah kepada Shrewsbury, mereka amat layak, itu keputusan minimum yang mereka layak hari ini," katanya.

Pengurus Shrewsbury, Sam Ricketts, berasakan pasukannya mampu meraih gol kemenangan sebelum Klopp memasukkan Firimino dan Salah pada penghujung permainan.

"Untuk lima hingga 10 minit, saya berfikir, 'ayuh lakukan dan memenanginya," katanya kepada BBC Sport.

"Ketika perlawanan berlangsung dan mereka memasukkan Firmino dan Salah, ia sedikit berubah, pengera mereka sudah berbunyi.

"Saya berkata kepada pemain, 'anda boleh memenanginya tetapi anda semua mahu ke Anfield, bukankah begitu!'" katanya.



Editor: Muzaffar Musa

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen