Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, memuji impak yang diberikan Virgil van Dijk sejak pemain pertahanan itu tiba di Anfield.

Van Dijk, 27, merupakan tonggak utama yang hampir pasti diturunkan Klopp dalam menanti kunjungan Everton dalam pertembungan 'derby' Merseyside menentang Everton, malam ini.

Pemain kebangsaan Belanda itu membantu memperkukuhkan jentera pertahanan Liverpool sejak tiba daripada Southampton dengan yuran perpindahan sekitar EUR75 juta (RM354.8 juta), Januari lalu.

Klopp menjelaskan dia sedar akan impak yang akan diberikan sebaik pertahanan itu menyertai pasukannya.

"Sejak kali pertama beraksi, dia sememangnya seorang yang bijak.

"Saya menyedari perkara itu sebelum Virgil mengikat kontrak bersama kami.

"Dia amat luar biasa, dia mempunyai kemahiran dan kepimpinan yang tinggi," katanya.

Liverpool akan turun menentang Everton selepas kekalahan 1-2 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, Khamis lalu.

Klopp perlu memutuskan beberapa perkara, terutama melibatkan jentera tengah yang kehilangan kapten pasukan, Jordan Henderson.

Dia turut mengharapkan tuah memihak Liverpool dalam lapan perlawanan pertama bulan Disember.

"Jika pemain-pemain dapat mengekalkan kecergasan, ia amat baik untuk saya melakukan penggiliran.

"Jika tidak, kami mungkin akan bergelut.

"Dalam tempoh Disember-Januari, kami mungkin memerlukan tuah untuk berdepan dengan masalah kecederaan," tambahnya.

Liverpool akan merapatkan kembali jurang dengan pendahulu liga, Manchester City, kepada dua mata, andai memenangi perlawanan menentang Everton.