ARSENAL 1 LIVERPOOL 1
(Arsenal muncul juara menerusi penentuan sepakan penalti 5-4)

Jurgen Klopp sedih kerana berasakan barisan serangan Liverpool tidak cukup bermaya dalam kekalahan penentuan sepakan penalti kepada Arsenal dalam Piala Perisai Komuniti, awal pagi tadi.


Juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, mempunyai jurang 43 mata dengan The Gunners musim lalu, tetapi ia bukan ukuran untuk Arsenal menjulang trofi itu.

Pierre-Emerick Aubameyang memberikan skuad bimbingan Mikel Arteta itu gol pendahuluan menerusi serangan balas tetapi The Reds, menyamakan kedudukan ketika 17 minit menuju masa kecederaan menerusi sentuhan penyudah Takumi Minamino.

Perlawanan terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti selepas waktu sebenar yang menyaksikan ketua pasukan dari Gabon itu menyempurnakan tendangan kelima selepas Rhian Brewster gagal dalam sepakannya.

Liverpool mensia-siakan deretan peluang dan mungkin disebabkan penyudah tumpul dengan gandingan tiga serangkai, Sadio Mane, Roberto Firmino dan Mohamed Salah, kurang berbisa manakala gerakan mereka tidak berjalan lancar di kubu lawan.

Dia memberitahu BT Sport: "Hari ini saya berasa sedih. Apabila anda menghadapi formasi seperti ini -- yang selalu kami hadapi -- kami bukan hanya ketinggalan 0-1, bahkan 0-0. Memandangkan kebanyakan pasukan menerapkan corak permainan seperti ini jadi kami perlu berada di kawasan pintu gol lawan dengan kesegaran.

"Adakalanya kami terpaksa mencipta peluang. Mencipta ruang, hantaran silang, hantaran melewati pertahanan dan segala tindakan seperti itu. Tempo kami agak menurun.


"Kami gagal menciptakan peluang yang jitu seperti yang kami hajati tetapi kami memiliki dua daripadanya sebelum itu dan kali ketiga kami berjaya menyumbat gol. Berdepan pasukan berkualiti seperti Arsenal, ada harinya ia sudah memadai.

"Andai kami dapat menyudahkannya, ia sudah cukup. Tetapi apabila anda gagal melakukannya, ia akan menjadi tidak mencukupi jadi hari ini tidak mencukupi."

Klopp menegaskan juara Piala FA itu mengendurkan asakan sejurus berada di depan sambil menambahkan: "Saya rasa mereka hanya memiliki dua percubaan tepat dan situasinya mirip.

"Selepas mereka membuat hantaran jauh, kami membiarkan Neco (Williams) bersendirian dan Auba pula dapat menyusup masuk untuk memanfaatkan peluang. Kemudian Ali (Alisson Becker) menyelamatkan keadaan," katanya.

"Selain daripada itu, kami terpaksa turun ke bawah sedikit ekoran ancaman serangan balas yang luar biasa. Dalam perlawanan ini, anda memerlukan sentuhan terakhir.

"Pada akhirnya, kami memiliki peluang yang mencukupi tetapi kami seharusnya mencipta lebih banyak lagi. Kami menguasai bola tetapi harus bijak membuat hantaran.

"Kami mempunyai beberapa detik menarik. Sadio juga mempunyai peluang, kami sepatutnya mencetak gol penyamaan kemudian menyumbat lebih banyak jaringan lagi.

"Tetapi kami tidak melakukan itu dan harus akur. Penentuan sepakan penalti merupakan perjudian. Kami tidak bernasib baik dan tahniah kepada Arsenal. Kami menghormati pertandingan ini."

Liverpool akan memulakan misi mempertahankan gelaran EPL apabila bertemu pasukan yang baru dipromosi, Leeds United, di laman sendiri pada 13 September ini.