Jurgen Klopp mahu Liverpool menerima risiko bakal kehilangan khidmat Emre Can secara percuma sambil menyifatkannya sebagai perkara biasa.

Pemain tengah Jerman itu masih belum bersetuju dengan tawaran baru The Kop, sekaligus membolehkannya mula berunding dengan pasukan lain pada Januari tatkala kontrak sedia ada memasuki enam bulan terakhir.

Juventus merupakan antara pasukan yang berminat mendapatkan pemain berusia 23 tahun itu sementara pengendali Bayern Munich,Jupp Heynckes, berpendapat Can adalah pemain yang "dinamik dan kuat".

Bagaimanapun, situasi itu sedikit pun tidak merunsingkan Klopp yang mengendalikan Liverpool sejak Januari 2016.

"Selagi Can tidak menunjukkan sebarang tanda untuknya berpindah ke pasukan lain, saya tidak rasa perlu untuk membincangkan perkara ini.

"Segala-galanya bagus tetapi tiada sebarang maklumat terbaru," kata Klopp.

Apabila ditanya kebarangkalian untuk Can menandatangani pra-kontrak bersama pasukan lain pada Januari, Klopp tidak menolak.

"Ia adalah lumrah bola sepak. Jika ia berlaku, kami tidak boleh mengubahnya.

"Jika ada pemain di luar sana yang turut menghampiri penghujung kontrak, kami harus melakukan perkara sama.

"Terdapat dua pihak yang boleh mengubah sesuatu, iaitu kelab dan pemain. Ia satu situasi normal," tambahnya.