Jurgen Klopp pantas menepis kelebihan sembilan mata yang dimiliki Liverpool di puncak Liga Perdana Inggeris ketika ini menjadi jaminan kejuaraan selepas mereka membelasan Arsenal 5-1, awal pagi tadi.

Liverpool mengambil kesempatan di atas kekalahan mengejut 3-1 Tottenham Hotspur di tangan Wolverhampton Wanderers lewat malam tadi apabila bangkit daripada ketinggalan, menyaksikan Roberto Firmino mencatat hatrik serta masing-masing satu gol daripada Sadio Mane dan Mohamed Salah.

Kelebihan The Reds di tangga teratas akan berkurangan kepada tujuh mata sekiranya pasukan tangga ketiga, Manchester City, menewaskan Southampton malam ini tatkala juara bertahan itu akan melakukan perhitungan dengan Liverpool, Khamis ini.

Pengurus Liverpool, Klopp, pantas melihat pendahuluan itu tidak memberikan sebarang jaminan trofi buat anak buahnya apabila berkata: "Malam ini jurang mata akan menjadi tujuh dan apabila kami berdepan City, ia mungkin menjadi empat.

"Saya bukan orang paling bijak di dunia tetapi saya tidak bodoh. Ia tidak memberi sebarang makna. Berapa jumlah mata yang anda raih dalam bulan Disember, itu tidak penting.

"Sebelum perlawanan, kami mendapat tahu tentang keputusan perlawanan melibatkan Spurs. Anda rasa kejayaan sudah bermula? Saya tidak lihat sebarang wajah dengan senyuman dalam bilik persalinan. Hanya mahu meneruskan perjuangan.

"Kami meraih 54 mata selepas 20 perlawanan dan kini fokus sepenuhnya untuk situasi itu. Kini, ia bukan tentang mencipta tajuk di dada akhbar atau mewujudkan cerita. Kami masih melakukan persiapan untuk aksi bola sepak, beraksi sebagus yang boleh dan mendapatkan mata maksimum.

"Ketika ini, kami seperti berlari maraton. Sebelum ini, cuaca begitu baik dengan baju baru dan segalanya segar. Orang akan memberitahu, 'anda akan menang hari ini' tetapi saya perlu lari terlebih dahulu.

"Orang sekeliling kami juga mencuba dan kami harus berlari. Itu yang cuba kami lakukan dengan baik."

Firmino dapat melengkapkan hatrik selepas Salah memberi ruang buat bintang Brazil itu menyempurnakan sepakan penalti dan ia membuatkan Klopp kagum.

"2018 berakhir dengan Salah memberi hadiah Krismas. Saya sukakannya. Dia memberikan peluang kepada Firmino untuk melengkapkan hatrik.

"Ia adalah perkara hebat. Ketika ini, saya tidak begitu gembira dalam latihan kerana Firmino jarang dapat menyempurnakan penalti tetapi hari ini adalah detik untuk dia.

"Ia berhasil, jadi saya rasa ia salah satu perkara terhebat dalam hidup saya," tambah Klopp.