Diogo Jota berkeupayaan untuk terus membarisi Liverpool sejurus melengkapkan perpindahannya menakjubkan ke Anfield, kata Jurgen Klopp dengan gembira semalam.

Penyerang Portugal itu berpindah daripada Wolves dalam kesepakatan yang dilaporkan bernilai £45 juta (RM239.1j) dan Klopp yakin muka baru berkenaan akan menambah persaingan merebut tempat bagi menerajui jentera serangan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Jota, yang merekodkan 16 gol dalam 67 perlawanan EPL bersama Wolves, akan menyertai kumpulan penyerang The Reds yang merangkumi Sadio Mane, Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Takumi Minamino.

Pengurus itu menjelaskan Jota menawarkannya begitu banyak pilihan berdasarkan dengan kemampuannya mengisi mana-mana posisi barisan depan ekoran Liverpool sinonim menerapkan tiga penyerang.

"Dia tahu ini adalah langkah besar buatnya dan dia mampu memberikan kami apa yang tidak kami miliki sebelum ini -- sebab itu kehadirannya sangat bagus buat kami," kata Klopp.

"Ruang untuk peningkatan bukanlah yang paling saya sukai, tetapi ia wujud. Dia sudah bersiap sedia untuk diturunkan tetapi ya, saya pasti ada sesuatu yang akan menyusul.

"Corak permainan, latihan dan cara kami menangani individu juga akan membantunya.

"Tentu saja berada dalam pasukan seperti ini adalah baik untuknya kerana terdapat pemain bagus di sekitarnya , lantas menjadikan dirinya lebih baik. Begitulah keadaannya dan apa yang akan dilakukannya bersama kami."


Dalam aspek pelaburan, skuad dari Merseyside itu menaruh harapan untuk melihat Jota memberi pulangan berbaloi dalam misi mereka mengulangi kejayaan 2019-20.

Klopp sering mengatakan bahawa Liverpool mempunyai kewangan untuk dibelanjakan jika terdapat pemain yang tepat untuk diburu selepas dikritik lambat bertindak di pasaran perpindahan, sehubungan itu kehadiran Jota telah membuktikan mereka sedang bekerja di belakang tabir.

Pengurus berbangsa Jerman itu memberitahu laman sesawang Liverpool: "Dia seorang pemain yang mampu menawarkan kami banyak pilihan. Dia baru berusia 23 tahun, kariernya masih boleh berkembang pesat dan memiliki potensi besar. Dia mempunyai kepantasan dan dia boleh menggabungkannya bagi tujuan bertahan dan memberi tekanan.

"Dia memiliki naluri semula jadi yang kami suntik dalam permainan kami -- keinginan, ketamakan dan hala tuju.

"Sudah tentu dia perlu menyesuaikan diri dan belajar beberapa perkara -- kaedah kami sudah tentu berbeza -- tetapi banyak perkara sudah tersedia, oleh itu saya sangat teruja."