Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, yang percaya pasukannya sedang berusaha untuk menamatkan saingan di tempat kedua dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), menyatakan Manchester City adalah juara untuk musim ini.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu mendahului saingan EPL dengan kelebihan 11 mata, memenangi 16 kali dalam 17 perlawanan serta meledak 52 gol.

Klopp berasakan persaingan liga sudah berakhir dan tiada pasukan mampu mengejar mereka, termasuk United.

"Musim ini, tiada siapa lagi bersaing untuk menjuarai liga. Saya tidak berasakan United mampu mengejar City," kata Klopp.

"Kami semua akan berusaha untuk merapatkan jurang dengan City tetapi ia adalah mustahil berdasarkan persembahan mereka.

"Sasaran yang lebih logik adalah bersaing untuk mengakhiri saingan di tempat kedua atau ketiga," katanya.

Klopp percaya pasukannya hampir sama seperti Borussia Dortmund pada musim 2012-13, yang menamatkan saingan dengan ketingglan 25 mata kepada Bayern Munich dalam saingan Bundesliga tetapi hampir menang dalam aksi final Liga Juara-Juara (UCL) tetapi tewas 2-1.

"Kami tidak boleh mengejar City, seperti kami gagal mengejar Bayern tetapi kami hampir menewaskan mereka dalam aksi final UCL.

"Ia merupakan perlawanan yang terbuka dan tiada siapa yang nampak kami ketinggalan 25 mata dalam saingan domestik."