Ketika mula mengambil alih tugas selaku pengurus Liverpool pada 2015, Jurgen Klopp meminta peminat The Reds untuk kembali yakin dengan kemampuan pasukan untuk meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ramai yang berasa Klopp menyahut cabaran sukar untuk menamatkan kemarau kejuaraan liga selama 30 tahun Liverpool.

Namun kesungguhan Klopp serta keyakinan dengan barisan pemain yang dimilikinya, ia menjadi realiti musim ini.

“Ia bukan mudah buat Klopp ketika menamatkan dominasi Bayern Munich apabila membantu Borrusia Dortmund menjuarai Bundesliga sebelum ini.

“Tetapi saya melihat cabaran bersama Liverpool jauh lebih besar, kerana bukan mudah untuk datang ke sana dan cuba menjuarai liga, apatah Liverpool tidak pernah muncul juara di era EPL.

“Dia mempunyai keazaman yang cukup tinggi dan cukup terperinci dalam membentuk barisan pasukan yang ampuh memburu kejuaraan,” kata bekas penjaga gol Chelsea, Mark Schwarzer ketika menjadi tetamu bersama Luis Garcia dan Robbie Fowler dalam siaran langsung aksi EPL antara Liverpool dan Chelsea yang disiarkan di saluran CH813 Astro Supersport pada Khamis.



Bagi Schwarzer, apa yang lebih mengagumkan ialah Klopp juga seorang pengurus yang cukup berhemah ketika berbelanja mendapatkan pemain.

“Memang Klopp ada membeli pemain dengan nilai yang tinggi, tetapi Liverpool tidak berbelanja sebesar pasukan lain seperti Manchester City.

“Dia mempunyai visi yang bijak serta berjaya menjadikan setiap pemain yang ke Liverpool seorang pemain yang lebih baik dan ini mengagumkan bagi saya,” kata Schwarzer.

Dalam pada itu, Fowler menyifatkan kejayaan menjuarai EPL musim ini mempunyai nilai yang cukup berharga buat peminat Liverpool.

Bekas penyerang Liverpool ini akui ia detik cukup istimewa apabila Liverpool dianugerahkan trofi kejuaraan EPL selepas aksi berdepan Chelsea pada Khamis.

“Ia memberi nilai yang cukup besar buat peminat Liverpool termasuk saya sendiri apabila kami muncul juara musim ini.

“Sebelum ini kami sudah berjaya menjuarai pertandingan lain termasuk Liga Juara-Juara Eropah, tetapi kejuaraan EPL mempunyai nilai tersendiri,” kata Fowler.