Jurgen Klopp berkata hasrat mengatasi rekod 100 mata dalam Liga Perdana Inggeris milik Manchester City tetap menjadi sasaran Liverpool.

City mencatat 100 mata ketika musim 2017-18 tatkala saingan musim ini telah sah menjadi milik Liverpool.

Namun, anak buah Klopp yang tewas 4-0 di tangan City kendalian Pep Guardiola dalam aksi awal pagi tadi hanya mencatat kekalahan kedua musim ini.

"Lihat, kami tidak boleh memaksanya. Untuk ke sana, memenangi aksi bola sepak, kami tidak melakukannya ketika berdepan City," kata pengendali The Reds itu.

"Jadi, pertama, kami perlu pastikan bersedia untuk menentang Aston Villa. Kutipan mata di penghujung musim adalah hasil daripada keputusan yang kami raih.

"Saya memberitahu, anda sedar kutipan gol adalah sesuatu yang sering kami catat tetapi tidak ketika berdepan City. Mereka meraih sepakan penalti, kami melepaskan bola untuk gol kedua. Masalah kami adalah ketika situasi bola mati. Ia termasuk penalti, situasi bola mati dan bagaimana ia berlaku. Begitu juga dengan lontaran ke dalam. Itu cara City meledakkan gol.

"Dengan kualiti yang mereka ada, mereka mencatat jaringan dan memiliki serangan balas. Ini adalah bola sepak dan jika anda tidak sempurna, ia bukan tempat untuk anda. Anda akan dihukum dan itu yang berlaku."

Baki saingan musim ini buat Liverpool menyaksikan The Reds bakal menentang Villa, Brighton and Hove Albion, Burnley, Arsenal, Chelsea dan Newcastle United.