Jurgen Klopp berkata terdapat keinginan meluap-luap untuk memenangi trofi dalam skuad Liverpool yang diperkuatkan beberapa pembelian penting di samping pengalaman sangat hampir memenanginya sebelum ini.

The Reds memenangi Liga Juara-Juara (UCL) Jun lalu, 12 bulan selepas tewas dalam final kepada Real Madrid, dan mereka kini di landasan untuk muncul juara Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama selepas dipintas Manchester City musim lalu dengan perbezaan satu mata.

Skuad kendalian Klopp itu turut menjuarai Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab, dengan kemarau trofi tujuh tahun Liverpool pada permulaan tahun lalu kini sudah dilupakan.

"Adakah ia rasa tamak? Saya tidak pasti. Ia merupakan satu keinginan untuk memenangi trofi," kata Klopp kepada ESPN.

"Kami perlu meningkatkan lagi peluang dengan cara berbeza, dengan pemain-pemain yang dibawa masuk ke dalam pasukan.

"Menyesuaikan diri dengan situasi yang berbeza membantu pasukan. Kalah adalah kalah tetapi jika anda belajar sesuatu, ia masih masuk akal seperti aksi final UCL berdepan Real.

"Apa yang diraih dalam perlawanan tersebut memperkuatkan lagi pasukan untuk terus memburu kemenangan dan kembali ke final seterusnya. Pengalaman tersebut benar-benar membantu kami.

"Saya berasakan keinginan pasukan sangat besar. Ia adalah satu perasaan yang menakjubkan apabila meraih lebih banyak gelaran. Saya tidak tahu sama ada ia adalah rasa tamak ataupun tidak tetapi siapa yang kisah?"

Klopp menyedari potensi bagi menamatkan penantian 30 tahun untuk bergelar juara liga -- "Semua orang memberitahu saya mengenai perkara ini," katanya -- namun menegaskan pasukannya tidak pernah "berangan-angan" dan bakal terus berusaha untuk melakar kejayaan.

"Kami bukanlah pasukan yang sekadar 'berangan-angan'. Kami sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaan yang diraih setakat ini.

"Buat masa ini, pasukan berada dalam prestasi yang terbaik dan cuba berusaha dalam setiap kejohanan."



Editor: Ammar Hakim