Jurgen Klopp memberi amaran kepada seteru apabila menegaskan Liverpool masih belum selesai dan mampu menjadi lebih baik.

The Reds kini memiliki kelebihan 25 mata berbanding Manchester City di puncak Liga Perdana Inggeris, bermain lebih satu perlawanan sebelum saingan ditangguhkan ekoran coronavirus.

Jika musim 2019-20 ditamatkan, Liverpool tampak meraih kejuaraan liga pertama dalam tempoh 30 tahun dan menambah koleksi trofi di bawah kendalian Klopp.

Namun, Klopp menegaskan masih ada ruang buat pasukannya terus meningkat selepas hanya tewas dua kali dalam liga sejak awal tahun lalu.

"Kami tidak akan berubah, itu perkara pertama tetapi berjaya atau tidak, ia bergantung kepada apa yang dilakukan kelab lain kerana mereka memiliki peluang untuk berkembang lebih bagus," katanya.

"Jadi, saya tidak nampak bayangan yang menghalang kami di masa akan datang. Namun, kami tidak akan berubah. Pasukan ini masih belum selesai dan ada ruang untuk kami meningkat. Kami akan berusaha.

"Kami memiliki tenaga segar dalam pasukan dan mampu meningkat bersama skuad ini. Ia hebat."