CRYSTAL PALACE 1 LIVERPOOL 2

Jurgen Klopp berkata dia tidak berminat untuk menghantar mesej kepada seteru dalam Liga Perdana Inggeris tetapi hanya fikirkan soal kemenangan.


Meskipun mengutip kemenangan ke-12 daripada 13 perlawanan musim ini susulan jaringan lewat Roberto Firmino, The Reds beraksi jauh daripada prestasi terbaik ketika berdepan Crystal Palace lewat malam tadi.

Liverpool tampak bakal mencicirkan mata apabila Wilfried Zaha memadamkan gol pembukaan Sadio Mane ketika permainan berbaki lapan minit tetapi Firmino muncul wira pada minit ke-85 untuk mengesahkan kemenangan, sekali gus mengekalkan kelebihan lapan mata di puncak liga.

"Sesuatu yang hebat apabila memiliki 37 mata selepas 13 perlawanan," katanya.

"Anda tidak boleh sentiasa meraihnya melalui perlawanan hebat.

"Kami melaluinya dalam beberapa perlawanan tetapi anda tidak boleh sentiasa memenanginya. Kami bukan di sini untuk memberi pesanan tetapi hanya mahukan keputusan."

Palace tampil lebih baik di awal permainan tetapi Liverpool bangkit selepas rehat yang membuatkan Klopp gembira.

"Saya tidak terkejut bagaimana perlawanan itu berjalan," tambah pengurus dari Jerman itu.

"Kami tahu ia tempat yang sukar, suasananya sangat bagus. Mereka tidak berputus asa.

"Ketika rehat, kami sedar kami perlu tampil lebih baik. Kami tidak cemerlang tetapi bersedia untuk berjuang mendapatkan keputusan."

Mohamed Salah sekadar memanaskan bangku simpanan selepas gagal pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali yang menyebabkan dia sering terlepas perlawanan bersama skuad kebangsaan Mesir kebelakangan ini.

Klopp berkata dia hanya kembali menyertai latihan kelmarin tetapi dijangka cergas untuk berdepan Napoli dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, Rabu ini.

"Salah dalam keadaan baik. Dia tidak berlatih selama sembilan hari. Kelmarin adalah hari pertamanya berada di tahap 100 peratus, jadi kami perlu membuat keputusan sama ada menurunkannya atau tidak.

"Kami tidak letakkan dia dalam kesebelasan utama. Kami mahu membawanya masuk cepat tetapi kami jaringkan gol. Jadi, kami rehatkannya. Ia sangat bagus dan dia bakal kembali Rabu nanti."