Jurgen Klopp menyifatkan pasukannya melalui "minggu yang bagus" selepas mencatat kemenangan ketiga berturut-turut apabila menewaskan West Ham United 4-1, awal pagi tadi.

The Kop bangkit daripada kekalahan 1-4 di tangan Tottenham Hotspur, dua minggu lalu, apabila mencatat kemenangan 3-0 ke atas Huddersfield Town dan Maribor, sebelum meneruskan momentum di Stadium Olimpik London.

Liverpool mungkin mampu meraih kemenangan yang lebih besar sekiranya tidak mengeluarkan Roberto Firmino dan mengubah taktikal permainan.

"Keputusan ini memberikan kelegaan," kata Klopp.

"Gol pertama adalah hasil daripada permainan yang mantap. Serangan balas kami sangat sempurna.

"3-0, 3-0 dan 4-1. Ia menjadi minggu yang bagus. Kini adalah masa yang tepat untuk berehat," katanya.

Klopp juga tidak menyembunyikan perasaan lega apabila Georginio Wijnaldum dan Sadio Mane turun beraksi walaupun terpaksa menerima berita kehilangan khidmat Jordan Henderson.

"Pada mulanya, kami sangkakan peluang untuk Wijnaldum beraksi telah tiada. Kami membawanya ke sini untuk memudahkan perjalanannya ke Amsterdam untuk bertemu doktor tetapi akhirnya dia bermain selama 90 minit.

"Mane adalah pemain yang cergas secara semulajadi kerana dia mampu beraksi selama 90 minit hanya selepas satu sesi latihan," tambahnya.