Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, gembira pasukannya meraih satu mata ketika menetang Manchester City yang menyaksikan mereka kekal bersaing dalam pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Riyad Mahrez gagal menjaringkan sepakan penalti untuk Manchester City dalam saingan penuh getir itu di Anfield malam tadi.

Kemenangan Chelsea dan Arsenal sebelum itu menambah tekanan Liverpool yang kini berada di kedudukan ketiga liga selepas lapan perlawanan.

Klopp mengakui pasukannya bernasib baik kerana tidak tewas dan lega Liverpool masih dalam kelompok atasan liga menjelang waktu rehat antarabangsa.

"Jika seseorang menawarkan saya 20 mata selepas lapan perlawanan, dengan jadual perlawanan seperti ini, saya akan menerimanya," kata Klopp dalam sidang media.

"Arsenal hanya ketinggalan tiga mata bukan? Memenangi enam perlawanan berturut-turut, mereka juga di tahap terbaik.

"Tetapi, hari ini kami menentang City. Kami mungkin memperoleh tiga mata, satu mata, atau tiada langsung. Jadi, satu mata ini sudah cukup.

"Kedua-dua pasukan bermain baik. Kami lebih bernasib baik kerana sepakan penalti itu tidak masuk," tambahnya.

Liverpool bermula baik dengan menguasai perlawanan sebelum City kembali mengimbanginya. Kedua-dua pasukan bergelut menghasilkan peluang sehingga Virgil van Dijk menjatuhkan Leroy Sane.

"Permulaan permainan sangat baik, saya sukakannya. Namun, jika mahu menewaskan City, jaringan perlu dihasilkan.

"Kami tidak dapat bertahan 100 peratus selama 95 minit, mereka mempunyai peluang mereka tetapi kami bertahan dengan sangat hebat. Terdapat beberapa waktu Alisson menyelamatkan keadaan dengan baik," kata Klopp memuji barisan pertahanan dan penjaga golnya.

"Kami kerap bertemu City sebelum ini dan mereka sememangnya hebat. Keadaan amat cemas bagi kedua-dua pasukan, kami saling menghormati satu sama lain. Jangan hilang bola di tempat yang tidak sepatutnya atau kamu akan berdepan masalah besar," tambahnya.