Jurgen Klopp mengakui Liverpool yang mendahului 20 mata ke atas Manchester City "sukar dijangkau dek akal" setelah menyaksikan pasukan lawan kendalian Pep Guardiola membelasah Burnley.

Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menyusuli kemenangan 3-0 ke atas Arsenal dalam perlawanan pertama sejurus liga kembali bersambung ekoran terjejas akibat COVID-19 apabila menonjolkan satu lagi persembahan mengagumkan semalam.

City meledak lima gol tanpa membalas untuk memalukan Burnley manakala Liverpool hanya mampu seri 0-0 dalam pertemuan 'derby' Merseyside kelmarin untuk mengurangkan kelebihan The Reds di puncak.

Pasukan asuhan Klopp itu berpeluang untuk bertindak balas apabila menjadi tuan rumah kepada Crystal Palace di Anfield, awal pagi esok, dengan gelaran liga pertama dalam 30 tahun hampir pasti dalam genggaman sebelum mereka bertandang ke Stadium Etihad, Khamis depan.



"Satu-satunya perkara yang saya sedar ketika menonton perlawanan malam tadi adalah bagaimana mungkin ada pasukan yang mendahului dengan 20 mata? Ia sebenarnya tidak terjangkau dek fikiran," katanya kepada media.

"Oleh itu, sudah tentu kami telah melakukan beberapa perkara dengan tepat untuk dapat berada dalam situasi ini.

"Tetapi, saya tidak memikirkan soal City mengekori kami. Saya hanya memikirkan tentang Crystal Palace.

"Saya memerhatikan mereka kerana kami akan bertemu dalam tempoh lapan atau sembilan hari lagi, tetapi saya bukan menonton mereka dengan harapan menyaksikan mereka akan kalah -- ia tidak pernah seperti ini.

"Mungkin saya mahu mereka kecundang ketika menghadapi Leicester musim lalu tetapi ia tidak berjalan dengan baik jadi itulah sebabnya saya berhenti melakukannya (meletakkan harapan). Ia terjadi pada satu ketika dan ia tidak membantu.

"Saya sangat menghormati mereka, saya telah mengatakannya berkali-kali. Mereka nampaknya akan memenangi semua baki perlawanan kerana mereka benar-benar mantap, mereka selalu begitu.

"Persembahan kami tidak begitu buruk, jadi mari kita memikirkannya."

Mohamed Salah -- pemain gantian yang tidak digunakan -- dan Andy Robertson tidak terlibat dalam kebuntuan di Goodison Park ekoran masalah kecergasan, namun Klopp mengesahkan kedua-duanya mungkin tampil untuk menghadapi Palace.

Bagaimanapun, James Milner dan Joel Matip terpaksa diketepikan setelah pasangan itu ditimpa kecederaan ketika menentang Everton.