Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, kagum dengan etika kerja dan disiplin yang dimiliki Takumi Minamino tatkala pengendali itu mengalu-alukan kedatangan pemain baru itu.

Pemain tengah Salzburg, Minamino, akan menyertai pendahulu Liga Perdana Inggeris itu 1 Januari depan selepas melengkapkan ujian kesihatan dan bersetuju dengan kontrak jangka panjang Isnin lalu.

The Reds dilaporkan bersetuju untuk membayar klausa perpindahan bernilai GBP7.25 juta (RM39 juta) selepas memantau pemain berusia 24 tahun itu dalam dua kemenangan mereka ke atas kelab Bundesliga Austria itu dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah.

Klopp berkata dia menjangkakan Minamino akan perlahan-lahan menyesuaikan diri dengan corak permainan pantas yang membolehkan Liverpool bergelar juara Eropah musim lalu.

"Ini perkhabaran baik, satu perpindahan yang indah. Kami sangat gembira," katanya.

"Penyokong kami berpeluang menemuinya secara dekat, jadi saya tidak perlu menguar-uarkan terlalu kuat tentang kualiti yang dimiliki Minamino.

"Dia seorang pemain yang sangat pantas, bijak dan mencari ruang di antara garisan. Dia berani tanpa atau sewaktu memegang bola, menjadikannya pemain secara berpasukan yang lengkap. Dia mencapai aksi terbaik untuk dirinya dan memberi kebaikan kepada yang lain.

"Impian Liga Juara-Juara yang dia miliki adalah satu bonus dan kini dia tahu dia akan diuruskan dengan baik berdasarkan persekitaran dan pengalaman yang tepat."

Minamino menyertai Salzburg daripada Cerezo Osaka pada Januari 2015 dan telah menyumbat 64 gol dalam 199 penampilan buat kelab Austria itu sambil mencatat 44 bantuan jaringan.

Dia meledakkan gol ketika menentang Liverpool di Anfield pada Oktober lalu sebelum meneruskan kecemerlangan sewaktu Salzburg membelasah Genk dalam aksi Liga Juara-Juara sebulan kemudian.

"Ia satu hasil kerja yang terbaik daripada pasukan operasi bola sepak kami dalam menguruskan urusan perpindahan," tambah Klopp.

"Pengarah sukan, Michael Edwards, dan seluruh pasukan wajar menerima pujian."