Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, menegaskan Jordan Henderson masih memainkan peranan utama di bahagian tengah pasukan walaupun dengan kehadiran Fabinho dan Naby Keita.

Henderson yang merupakan kapten Liverpool telah kembali menyertai sesi latihan pasukan selepas membantu England melayakkan diri ke separuh akhir Piala Dunia.

Bagaimanapun, tatkala pemain berusia 28 tahun itu diberikan tambahan rehat susulan aksi di Russia, Liverpool tetap tampil memukau dalam kempen pra-musim apabila menundukkan Napoli 5-0 di Napoli pada Sabtu lalu di samping mengatasi seteru Liga Perdana Inggeris, Manchester United, 4-1 dalam aksi sebelum itu.

Klopp tetap menegaskan pemain tengah itu masih berada dalam perancangannya bagi menghadapi musim 2018/19 memandangkan kelab itu telah kehilangan khidmat Emre Can yang ke Juventus, walaupun menerima kehadiran Keita dan Fabinho.

"Henderson tetap penting buat kami, bukan sekadar sebagai seorang pemain tetapi selaku ketua," kata Klopp.

"Anda memerlukan pemain seperti Henderson dan James Milner untuk membina semangat tinggi dalam pasukan. Tiada keraguan terhadap Henderson. Saya tidak memerlukan alasan kukuh berdasarkan aksi Piala Dunia atau saingan musim lalu.

"Dia harus belajar tentang posisi barunya. Saya masih ingat ketika pertemuan dengan Burnley di Turf Moor pada Ogos 2016 di mana kami tewas 2-0 walaupun menguasai 80 peratus perlawanan.

"Henderson terlibat dalam jaringan pertama, mengejar bola walaupun gagal mendapatkannya. Antara perkara utama yang dipersoalkan kepada saya adalah adakah dia mampu beraksi dengan peranan pemain nombor 6 (tengah bertahan)?

"Saya menjawab bahawa dia boleh dan Henderson akan belajar. Dia harus mempelajarinya dan perlu meningkat. Itu yang dilakukannya. Dia masih boleh beraksi selaku pemain nombor 8 (tengah) atau kami boleh menggunakan dua pemain nombor 6 dan Fabinho selaku pemain tengah bertahan. Segalanya boleh berlaku.

"Jika sesuatu perkara itu diselesaikan melalui satu percaturan dan pemain lain hanya diperlukan apabila wujud kecederaan, ia adalah sesuatu yang salah. Kami akan kehilangan peluang," tambahnya.

Liverpool telah berbelanja besar, memecahkan rekod dunia bagi seorang penjaga gol apabila membawa masuk Alisson dari AS Roma sambil Xherdan Shaqiri turut menyertai The Reds untuk mengiringi ketibaan Keita dan Fabinho.

"Apa yang kami cuba lakukan ketika jendela perpindahan adalah melebarkan pasukan dan meningkatkan kualiti.

"Saya sukakan pemain-pemain muda tetapi sering akan wujud situasi yang sukar apabila memerlukan mereka. Penting untuk sentiasa mempersiapkan diri, terutama ketika Januari.

"Jika ada pihak yang melihatnya daripada sudut berbeza, ia mungkin dalam tempoh Ogos atau September, iaitu sebelum bermula Liga Juara-Juara Eropah dan Piala Liga. Beberapa pemain mungkin tidak akan meraih peluang beraksi yang cukup tetapi kami akan kerap memerlukan mereka selepas itu.

"Jika anda bermain 40 perlawanan pada akhir musim ini dan bukan 50, ia bagus. Kebanyakan pemain beraksi dalam 50 perlawanan pada musim lalu tetapi jumlah 43 atau 44 pastinya sempurna.

"Kemudian, anda boleh menetapkan tahap yang tinggi. Saya sangat gembira dengan pilihan yang ada dalam pasukan dan Henderson akan memainkan peranan yang penting."