NORWICH CITY 0 LIVERPOOL 1

Sadio Mane membuat kemunculan semula yang sempurna sejurus kembali daripada kecederaan apabila menjadi wira pasukannya di Norwich City dan kelihatan bersedia untuk menghadapi Atletico Madrid dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL).


Pengurus The Reds, Jurgen Klopp, gembira dengan sentuhan pemain Senegal itu selepas dilanda hamstring apabila meledak gol pada lewat permainan di Carrow Road, awal pagi tadi.

Kemenangan 1-0 itu membolehkan Liverpool menerajui Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kelebihan 25 mata bagi mengekalkan rekod mereka yang hanya tercicir dua mata sepanjang musim ini.

Mane dan James Milner kedua-duanya muncul sebagai pemain gantian untuk memainkan peranan penting dalam kemenangan ke-25 Liverpool dalam 26 perlawanan liga.

Klopp berkata: "Ia (faktor yang boleh) membantu apabila anda mempunyai kualiti seperti mereka di bangku simpanan."

Skuad dari Merseyside itu kini mengalihkan tumpuan mereka kepada pertemuan pertama pusingan 16 UCL pada pertengahan minggu ini apabila akan melakukan perjalanan ke Wanda Metropolitano untuk berdepan skuad Atletico bimbingan Diego Simeone.

"Sadio mungkin akan memulakan perlawanan," kata pengurus itu.

"Tetapi saya mahu membuat keputusannya pada Selasa ini.

"Saya tidak terlalu memikirkan terlalu banyak mengenai perlawanan-perlawanan ini tetapi apabila dua pemain kembali daripada kecederaan seperti yang dilakukan Sadio dan Fabinho, anda tidak fikir bahawa mereka boleh beraksi dalam dua perlawanan berturut-turut.


"Kualiti yang ada pada pemain lain terlalu besar sehingga saya terpaksa mengetepikan pemain yang lain. Ia satu kesempatan sempurna buat Sadio untuk beraksi selama beberapa minit. Dia kelihatan sudah bersedia."

Klopp menekankan prestasi Liverpool ketika menentang Norwich bukanlah sempurna dengan mengatakan mereka terlalu kerap menggunakan hantaran jauh.

"Jelas sekali bahagian tengah kami kadang-kadang terkejut dengan hantaran jauh daripada pertahanan sehingga mereka tidak sempat untuk mara ke depan dengan lebih awal jadi kami tidak dapat memenangi bola kedua," katanya lagi dalam sidang media pasca perlawanan.

"Anda perlu membiasakan diri dengan keadaan ini dan selepas 45 minit permainan, kami sedar bagaimana rasanya. Ketika rehat, saya memaklumkan kepada mereka bahawa kami boleh memperbaiki rentak, jelas sekali kami semakin meningkat dalam separuh masa kedua.

"Kami berdepan banyak situasi serangan balas dan kami memenangi bola tersebut sehingga meletakkan mereka di bawah tekanan, terus mengekalkan mereka sebegitu sebelum menjaringkan gol yang menarik."

Ketua pasukan Liverpool, Jordan Henderson, menjadi arkitek kepada jaringan itu menerusi hantaran jauh dan penyerang itu menyambutnya dengan penuh bergaya sebelum memalingkan badannya untuk melepaskan rembatan yang melewati Tim Krul.

Bercakap kepada laman sesawang rasmi Liverpool, Henderson berkata: "Ini adalah satu larian hebat daripada Sadio, sentuhan dan penyudah yang hebat -- ia satu jaringan menarik daripadanya.

"Adalah bagus melihatnya kembali daripada kecederaannya dan terus menyumbat gol. Ia satu perkembangan yang sangat baik untuk mendapatkannya khidmat kembali dan bagus untuk meraih tiga mata."

Tambahnya: "Kami harus pulih dengan segera. Kami mempunyai satu lagi perlawanan penting pada pertengahan minggu ini untuk menentang Atletico Madrid yang akan menjadi satu lagi ujian yang sukar.

"Jadi kami hanya perlu ke sana dan melakukan segala yang kami mampu untuk mendapatkan keputusan yang baik."

Editor: Shaiful Shamsudin