Jurgen Klopp menabik Mohamed Salah dan tonggak Liverpool yang lain, tetapi mengakui tidak menyangka pemain Mesir itu dan gandingannya di bahagian serangan berbisa seperti hari ini.

Salah menyertai The Reds daripada Roma tiga tahun lalu dalam perjanjian yang dilaporkan menelan belanja £34 juta (RM182.3j).

Dalam 105 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), Salah- - yang sering beraksi di bahagian kanan -- telah merakamkan 73 gol, termasuk 32 jaringan pada 2017-18.

Bintang Mesir itu turut menjadi nadi ketika The Reds ditabalkan sebagai juara Eropah dan domestik menerusi persefahaman jitunya bersama Roberto Firmino dan Sadio Mane, secara tidak langsung diangkat sebagai trio maut yang telah meledak 250 gol di bawah bimbingan Klopp.

Bercakap menjelang aksi dengan Arsenal, awal pagi esok apabila Salah dijangka akan membuat penampilan ke-150, pengurus berbangsa Jerman itu berkata: "Pertama dan paling penting, ia bermaksud dia terbabit dalam 50 perlawanan setahun, setiap musim dan ia masih dihitung, Ia sukar dipercayai. Ia satu jumlah yang besar.

"Jelas dia dan kami bernasib baik kerana kami dapat terbabit dalam semua perlawanan ini sambil dia juga tidak mengalami kecederaan, ia sesuatu yang bagus.

"Saya begitu positif ketika kami menandatanganinya. Saya masih ingat lagi perbincangan di antara kami ketika kali pertama bertemu muka, ketika itu kami bercakap.

"'Apa kedudukan kegemaran anda?' Di sayap kanan tetapi Sadio Mane ada di sana dan dia telah melalui musim yang cukup bagus. Ya, begitulah tetapi dia juga boleh bermain sayap lain'."

"Itu hajat awal kami. Ideanya jelas tentang bagaimana mereka akan bergandingan tetapi ia berjalan bukan dengan cara yang kami jangkakan. Mereka kini telah menyumbat 250 gol sejak mereka menyertai kelab ini , ia satu jumlah yang luar biasa.

"Ini adalah hari yang baik buat Liverpool (ketika Salah dipancing) dan juga hari yang sangat baik untuk Mo kerana ia sangat sesuai buatnya dan ia faktor yang sangat penting dalam hidupnya. Anda tidak dapat mengubah dunia secara bersendirian tetapi dengan melakukannya bersama-sama. Bersama orang yang tepat di sekitar anda, anda mempunyai peluang yang lebih baik untuk melakukannya. "

Sementara itu, Dejan Lovren juga akan kekal walaupun acap terpinggir musim ini apabila Klopp menegaskan dia masih menghargai apa yang ditawarkan oleh pemain Croatia itu.

Walaupun bekas pengurus Borussia Dortmund itu tidak menawarkan petanda khusus mengenai laporan bahawa The Reds akan mengaktifkan klausa untuk mengekalkan khidmatnya hingga 2022, pemain berusia 31 tahun dijangka kekal.

"Dejan beraksi dengan luar biasa untuk kami, dia adalah bahagian yang sangat penting dalam skuad ini, sama sekali tiada masalah," kata Klopp.

"Dejan selalu ada dalam pasukan atau dekat dengan pasukan, sama ada dengan kehadirannya atau tidak. Kami tidak pernah menghadapi masalah. Semuanya bagus, tetapi saya tiada yang boleh saya katakan mengenai situasi kontraknya kerana ia tidak perlu dibincangkan dalam khalayak ramai."