LIVERPOOL 1 EVERTON 0

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berasakan jaringan kemenangan ketika menewaskan Everton mampu membantu Divock Origi melupakan kecederaan serius yang dialaminya sebelum ini.


Dalam aksi di Anfield itu, Origi yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan gol kemenangan Liverpool pada minit ke-96 saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Pemain kebangsaan Belgium itu bergelut untuk mencari kecergasan terbaik selepas menderita kecederaan buku lali sejak April 2016.

Namun, selepas menjaringkan gol ketiganya dalam "derby" Merseyside itu, Klopp menganggap Origi kini merupakan aset terpenting The Reds.

"Saya berkata kepadanya sewaktu di atas padang, saya tidak akan melupakan insiden itu.

"Kekasaran dan terjahan keras sentiasa berlaku, namun apa yang berlaku telah menjejaskan perkembangannya.

"Sebelum itu, dia beraksi hebat, namun selepas itu, dia mengambil masa yang lama untuk pulih.

"Ketika final Liga Juara-Juara Eropah 2016, dia bersedia untuk diturunkan, namun masuh belum pulih sepenuhnya.

"Di pentas Euro (2016), dia masih bergelut untuk mendapatkan prestasi terbaik.

"Dia kembali pulih sedikit demi sedikit, dia kehilangan keyakinan dan tidak dapat kembali kepada prestasi asal.

"Kini, dia mula menjaringkan gol dan saya berasakan segalanya akan kembali baik buatnya selepas ini," katanya.

Kebangkitan Origi memberikan Klopp lebih pilihan di barisan serangan.

Mereka akan menghadapi jadual padat sepanjang bulan ini dan bakal bertandang ke Burnley, Khamis ini.

Klopp mengeluarkan Mohamed Salah dan Roberto Firmino dalam babak kedua menentang Everton, namun tidak dapat mendedahkan rancangan penggiliran pemainnya selepas ini dengan Sadio Mane pula ditimpa kecederaan.

"Kami akan melihatnya selepas ini. Ia satu perlawanan yang getir.

"Sadio paling menyerlah berbanding dua penyerang lain hari ini.

"Dia bermain semakin baik dalam setiap minit.

"Dia mengalami luka di bahagian kaki, namun tetap beraksi sepanjang 20 minit terakhir.

"Saya tidak tahu apa yang terjadi, namun ia kelihatan amat menyakitkan," tambahnya.