Jurgen Klopp telah menjadikan budaya tidak berputus asa sebagai sebahagian daripada identiti Liverpool, kata kapten pasukan, Jordan Henderson.

Liverpool di landasan terbaik untuk menamatkan penantian 30 tahun kejuaraan liga tetapi wabak coronavirus telah merencatkan hasrat itu.

The Reds kini memiliki kelebihan 25 mata mengatasi juara bertahan, Manchester City, dan Henderson menegaskan kemampuan untuk bertarung sehingga akhir permainan menjadi kunci kepada pencapaian hebat mengutip 82 mata daripada 29 perlawanan.

Bintang England, Henderson, percaya ia adalah hasil daripada perubahan mentaliti yang diterapkan Klopp sejak tiba di Anfield pada 2015.

"Corak mentaliti yang ada pada kami terutama pada musim ini memainkan peranan kepada perlawanan yang kami menang," katanya.

"Saya fikir ia adalah antara langkah pertama dilakukan pengurus apabila tiba di sini.

"Apabila hadir ke Anfield, saya masih ingat dia bercakap mengenai larangan untuk berhenti atau mengubah mentaliti dalam satu perlawanan.

"Anda harus tamatkannya, sentiasa berusaha tidak kira apa berlaku dalam sesebuah perlawanan, tidak kira kedudukan semasa kerana anda tidak tahu apa boleh berlaku dalam bola sepak dan ia harus dikekalkan. Saya masih ingat tentangnya sejak di permulaan."

Henderson menjadikan kemenangan 4-3 ke atas Borussia Dortmund di Anfield ketika suku akhir Liga Europa musim 2015-16 sebagai contoh selepas Liverpool bangkit daripada ketinggalan 3-1.

"Jika dilihat semula waktu dia hadir ke sini dan anda saksikan aksi seperti menentang Dortmund dalam Liga Europa, kebangkitan yang kami cipta serta beberapa perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris, ia adalah perkembangan yang berlaku dalam tempoh beberapa tahun.

"Saya fikir musim ini kami sangat konsisten tetapi saya benar-benar yakin ia adalah perkembangan hasil usaha dan identiti yang kami cipta, tidak kira dalam apa jua perlawanan dan kami tidak akan mengubahnya sehingga penamat."