Klopp ikrar Liverpool akan pertahan kejuaraan liga

Oleh Nafis Abdullah 2 Julai 2020 618
Klopp ikrar Liverpool akan pertahan kejuaraan liga
Jurgen Klopp berikrar Liverpool akan menyerang habis-habisan tatkala mereka mahu mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris, musim depan.

The Reds menamatkan penantian selama 30 tahun untuk bergelar juara England pada minggu lalu selepas pasukan tangga kedua, Manchester City, tewas di tangan Chelsea.

Liverpool kini memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang pertama, mengatasi City dengan 23 mata ketika saingan berbaki tujuh perlawanan menjelang pertemuan di Etihad, awal pagi esok.

Klopp berkata kelab Merseyside itu mahu menamatkan saingan dengan penuh bergaya tatkala dia menegaskan pemainnya mahu mengekalkan kejuaraan itu untuk saingan 2020-21.

"Selagi kami merendah diri dan berusaha, kami berpeluang cerah untuk terus menjadi lawan yang sukar," kata pengurus Liverpool itu.

"Apabila anda menjadi lawan yang sukar, anda memiliki peluang tinggi untuk menang. Kemudian, anda perlu menang.

"Terdapat banyak cabaran dalam hidup dan cabaran kami adalah kini bergelar juara. Beraksi tujuh perlawanan menentang lawan yang berjuang untuk segalanya.

"Kami akan buktikan bahawa kami beraksi bukan kerana terpaksa tetapi memang itu yang kami mahukan.

"Musim depan, anda boleh menulis kisah tentang kami mempertahankan kejuaraan liga dan sebagainya tetapi saya ingin tegaskan, kami tidak akan mempertahankan apa=apa sebaliknya akan terus menyerang."

Klopp menjangkakan bakal berdepan saingan sukar pada tahun depan, bukan hanya daripada skuad kendalian Pep Guardiola, City.

"City akan bertambah kuat pada musim depan, begitu juga dengan Chelsea dan Manchester United.

"Kami perlu beraksi 38 perlawanan dalam setahun. Apa yang kami raih pada minggu lalu adalah satu sejarah."
 

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen