Jurgen Klopp menegaskan bahawa dia hanya akan menandatangani "pemain yang sesuai" walaupun masalah di bahagian pertahanan pasukannya semakin memburuk apabila Joel Marip mengalami kecederaan buku lali.

Matip tidak beraksi ketika pasukannya tewas 2-3 kepada Manchester United dalam Piala FA hujung minggu lalu tetapi kembali diturunkan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Tottenham awal pagi tadi untuk bergandingan dengan Jordan Henderson di bahagian pertangahan tengah selepas ketiadaan Fabinho.

Bagaimanapun, pemain kebangsaan Cameroon itu terpaksa digantikan pada separuh masa dalam kemenangan 3-1 ke atas Spurs itu dan Klopp kemudian mengesahkan pertahanan itu mengalami kecederaan ligamen buku lali.

Dengan Virgil van Dijk dan Joe Gomez terpaksa berehat panjang dan Fabinho mengalami satu lagi masalah otot, skuad The Reds itu menamatkan perlawanan di Stadium Tottenham Hotspur berkenaan dengan menggunakan pemain kurang berpengalaman, Nat Phillips, sebagai gandingan Henderson.

Klopp, bagaimanapun, belum bersedia untuk menandatangani pemain baru sebelum jendela perpindahan ditutup hujung bulan ini.

"Sudah pasti anda dapat bayangkan tentang segala yang kami fikirkan. Kami sentiasa berfikir setiap masa mengenai melakukan perkara yang betul.

"Saya bukan memilih atau apa-apa seperti itu tetapi kami perlu mencari pemain yang tepat. Kami masih memiliki pemain. Tidak banyak tetapi sejujurnya, apa yang berlaku di barisan pertahanan amat luar biasa tetapi itulah keadaannya," katanya.

Kemenangan Liverpool ke atas anak buah Jose Mourinho itu terhasil menerusi jaringan Roberto Firmino, Trent Alexander-Arnold dan Sadio Mane
dan ia merupakan gol kedua masing-masing sepanjang lapan perlawanan dalam kesemua kejohanan.

Gol pembukaan Firmino pada penghujung babak pertama menamatkan penantian 482 minit tanpa jaringan buat Liverpool dalam EPL, di mana pasukan juara bertahan itu telah melakukan 93 percubaan tanpa menemui sasaran.

Keputusan itu turut melonjakkan Liverpool ke tangga keempat liga dengan ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, Manchester City, yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.