Klopp hampir menangis Salah biarkan Firmino sepak penalti

Oleh Staff Writer 30 Disember 2018 37834
Klopp hampir menangis Salah biarkan Firmino sepak penalti
Jurgen Klopp hampir menangis apabila Mohamed Salah membiarkan Roberto Firmino menyempurnakan sepakan penalti kedua untuk melengkapkan hatriknya ketika membenam Arsenal 5-1, awal pagi tadi.

Arsenal terlalu kerdil untuk mengatasi Liverpool di Anfield walaupun meraih pendahuluan menerusi Ainsley Maitland-Niles tatkala The Reds kini memiliki kelebihan sembilan mata di puncak liga.

Firmino menyumbat dua gol pantas sebelum Sadio Mane dan Salah -- menerusi sepakan penalti -- menjadikan kedudukan 4-1 sebelum rehat.

The Reds sekali lagi diberikan sepakan penalti dalam babak kedua apabila Sead Kolosinac dilihat menyiku Dejan Lovren tetapi Salah membenarkan Firmino mengambil tugasan itu, membolehkan bintang Brazil itu meraih hatrik pertama di pentas Liga Perdana Inggeris yang membuatkan Klopp begitu kagum.

"Kami tahu dalam babak kedua bahawa aksi belum berakhir, jadi kami mahu mengawalnya," kata Klopp.

"Salah memberikan penalti kepada Firmino dan saya hampir menangis kerana semua orang tahu bahawa Salah mahu menyumbat gol. Ia sangat bagus."

Klopp juga memuji kebangkitan anak buahnya selepas ketinggalan dengan mempamerkan aksi penuh bertenaga.

"Tindak balas yang ditunjukkan jelas bertaraf dunia," ujar Klopp.

"Kami tetap tenang dan memaksa lawan melakukan kesilapan.

"Jaringan Firmino hadir apabila Mane meraih bola. Wah, ia satu aksi bertahan yang sempurna."

Liverpool bakal menyambung aksi liga dengan berkunjung ke Etihad berdepan juara bertahan, Manchester City, Khamis ini.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen