Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menuntut semua pihak di England agar bertenang tanpa mengira keputusan perlawanan persahabatan negara itu dengan Jerman dan Brazil.

Skuad kendalian Gareth Southgate itu layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2018 dengan selesa, namun timbul persoalan mengenai kemampuan mereka di Russia nanti.

England akan diuji dalam perlawanan persahabatan menentang dua pasukan terbaik dunia, Jerman dan Brazil, di Wembley pada hujung minggu ini dan minggu depan.

Namun, Klopp berkata mereka tidak boleh terbawa-bawa dengan sebarang keputusan perlawanan itu, tidak kira sama ada anak buah Southgate berjaya atau tidak.

"Jika anda mahu bermain dalam perlawanan ujian, anda perlu memilih pasukan selain daripada Jerman dan yang kedua, Brazil. Ini benar-benar sesuatu yang lucu," kata pengurus dari Jerman itu kepada The Guardian.

"Semua wartawan perlu bertenang dan tidak meletakkan harapan yang tinggi. Bukannya mereka tidak boleh menang, sudah tentu, tetapi anda menjadikannya terlalu besar jika mereka menang atau kalah.

"Apabila saingan kelayakan berakhir, ramai yang akan mula mengatakan masalah menjelang temasya itu. Hakikatnya, England mempunyai sekumpulan pemain muda yang hebat.

"Saya tidak pasti bagaimana Jerman akan bersaing tetapi pastinya ia adalah permainan yang sangat menarik. Tetapi, saya tidak akan mengatakan ia harus menjadi penanda aras untuk masa depan," katanya lagi.