LIVERPOOL 1 EVERTON 1

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berang dengan pengadil perlawanan, Craig Pawson, kerana memberikan penalti di penghujung permainan yang membenarkan Everton meraih keputusan
seri 1-1 di Anfield, semalam.


The Reds, yang mendominasi aksi 'derby' Merseyside itu sepanjang perlawanan, mendahului tiga minit sebelum tamat separuh masa pertama menerusi jaringan ke-13 Mohamed Salah untuk musim ini.

Namun, Liverpool melepaskan banyak peluang dalam babak kedua dan dihukum dengan gol penyamaan Everton yang disempurnakan oleh Wayne Rooney menerusi sepakan penalti selepas Dejan Lovren menjatuhkan Dominic Calvert-Lewin.

Klopp menyifatkan pengadil perlawanan gagal melakukan tugas dengan baik dan telah melakukan keputusan yang salah.

"Kami telah bermain dengan baik," kata Klopp.

"Saya hanya melihat satu pasukan yang beraksi.

"Gylfi Sigurdsson melakukan terjahan keras dan dia harus dilayangkan kad merah. Calvert-Lewin bijak mengambil peluang dan jatuh di dalam kotak penalti.

"Saya tidak memahami mengapa pengadil memberikan sepakan penalti kepada pasukan lawan," katanya.

Klopp telah melakukan keputusan mengejutkan dengan menamakan Philippe Coutinho dan Roberto Firmino di bangku simpanan dan mengeluarkan Salah 20 minit sebelum perlawanan tamat.

"Ia adalah tugas saya. Saya membuat keputusan yang saya fikir adalah betul.

"Kami seharusnya menjaringkan lebih banyak gol. Saya terpaksa menerima keputusan ini," ujarnya lagi.