LIVERPOOL 4 CARDIFF CITY 1

Jurgen Klopp menegaskan Liverpool tidak akan terbawa-bawa biarpun kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan 4-1 ke atas Cardiff City.


Dua gol daripada Sadio Mane disusuli jaringan Mohamed Salah dan Xherdan Shaqiri memastikan Liverpool mengutip mata penuh di Anfield awal pagi tadi untuk meletakkan The Reds tiga mata mengatasi Manchester City yang akan mengunjungi Tottenham awal pagi Selasa nanti.

Bagaimanapun, tatkala Klopp teruja dengan jumlah pungutan mata Liverpool, 26 mata daripada 10 perlawanan pembukaan, bekas pengurus Borussia Dortmund itu berhati-hati dengan pasukan yang sedang menghambat mereka.

"Jumlah mata akan menjadi perbezaan," kata Klopp dalam sidang akhbar.

"Oleh kerana perbezaan di antara 23 dan 26 terasa seperti 20 mata, ia jumlah yang cukup banyak!

"Kami semua akan bertemu satu sama lain, sukar dipercayai terdapat lima atau enam kelab mengumpul mata yang banyak tetapi ia hanya menjadikan saingan lebih sengit.

"Ia bagus untuk para penyokong pelbagai kelab. Kami menang tetapi bagi kami, ia hanya langkah seterusnya, ia sesuatu yang bagus.

"Kini kami mempunyai masa untuk pulih, kemudian bersedia untuk bertemu Arsenal yang akan menjadi satu lagi cabaran yang bagus," ujarnya.

Sementara itu, pengurus Cardiff, Neil Warnock, meratapi jadual perlawanan yang menyaksikan pasukannya gagal membuktikan kemenangan ke atas Fulham dalam aksi terdahulu.

"Saya fikir ia agak keras, kami telah dihukum atas kesilapan. Kami berpeluang dalam babak pertama dan membuat langkah yang salah," kata Warnock kepada BBC Sport.

"Anfield adalah tempat yang menakutkan. Ia suatu keputusan yang kejam apabila kami beraksi cemerlang ketika menentang Fulham minggu lalu, kemudian bertembung pula dengan Liverpool, tiada yang lebih sukar," keluhnya.