Jurgen Klopp tidak berminat untuk membandingkan pemain Liverpool, Mohamed Salah, dengan bekas bintang The Reds, Luis Suarez, apabila menegaskan perbincangan itu hanya untuk akhbar dan media sosial.

Pemain sayap Mesir, Salah, berada dalam prestasi terbaik sejak berpindah ke Anfield pada awal musim ini yang menyaksikan dia telah menjaringkan 17 gol dalam semua pertandingan, termasuk dua gol ketika membenam Stoke City, tempoh hari.

Kemampuan mengagumkan itu telah membawa kepada perbandingan mengenai sumbangannya dengan Suarez, yang mencetak 82 gol selama tiga setengah tahun di kelab itu sebelum berhijrah ke Barcelona pada Julai 2014.

Pengurus, Klopp, mengalu-alukan perkembangan Salah itu, namun tidak berminat untuk membuat perbandingan dengan Suarez.

"Saya tidak berminat, saya sangat menghormati Suarez -- dia adalah legenda Liverpool," katanya dalam sidang media menjelang lawatan Liverpool ke Brighton & Hove Albion, hari ini.

"Dia pemain yang hebat, saya suka sikap dan gaya permainannya, namun dia bukan lagi pemain Liverpool.

"Bukan saya yang harus membandingkan pemain atau impak. Itu cerita untuk akhbar atau media sosial, saya tidak terlalu berminat dengannya.

"Jelas sekali dia (Salah) dalam prestasi terbaik, kami berharap dia akan terus menghasilkan detik yang baik. Namun, bagaimana saya masih terkejut dengan impaknya?

"Dia baru tiba di sini selama beberapa bulan, dia selalu terlibat dalam pasukan, sangat terbuka dalam semua perkara, baginya perkara-perkara baru yang kami lakukan dalam latihan, intensiti liga di sini berbeza dengan Itali.

"Tetapi, dia bermain di peringkat tertinggi (untuk Roma) di negara lain, mungkin kejutan bagi orang Inggeris bahawa jika anda beraksi baik dalam sesebuah liga, anda boleh meneruskannya di tempat lain."

Rentak Salah meletakkannya dalam senarai awal untuk Anugerah Pemain Terbaik PFA, namun Klopp percaya perkara sedemikian masih tidak menentu ketika di peringkat ini.

"Kata kuncinya adalah sepanjang musim, ketika ini perjalanan kempen belum sampai separuh musim," katanya lagi. "Jika dia terus seperti itu, dia akan berada dalam senarai pilihan tetapi perjuangan masih ada."