Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, mendakwa Mohamed Salah berdepan 'tekanan sosial' untuk menghadiri majlis perkahwinan adiknya, satu keputusan yang menimbulkan kontroversi selepas dia diuji positif koronavirus.

Salah dijangkiti COVID-19 ketika tugasan antarabangsa bersama Mesir dan terlepas perlawanan pasukan kebangsaannya menentang Togo.

Pemain berusia 28 tahun itu dikritik hebat selepas satu video mula tular -- yang memperlihatkan dia menari bersama hadirin dalam majlis perkahwinan adiknya, beberapa hari sebelum perlawanan Mesir.

Dia akan terlepas perlawanan Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Leicester City awal pagi Isnin ini dan statusnya dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bertemu Atalanta pada 28 November ini turut menjadi tanda tanya.

Salah telah menjaringkan lapan gol dalam lapan penampilan EPL musim ini.

Klopp mengesahkan dia sudah berbincang dengan Salah mengenai isu itu dan enggan berbicara mengenai tindakan dalaman yang akan dikenakan Liverpool ke atas pemain itu.

"Majlis perkahwinan seorang adik adalah sangat istimewa," kata Klopp dalam sidang media.

"Di negara lain, dalam situasi berbeza, ia lebih -- saya tidak pasti perkataannya tetapi ia mungkin tekanan atau perkara seperti itu -- sosial.

"Dia mungkin akan kembali hari ini. Kami sentiasa berhubung dengannya.

"Kebiasaannya dalam kes seperti ini, apabila anda mendapat keputusan negatif, proses itu akan bermula. Dia berada di tempat yang selamat. Dia berasa baik. Tiada gejala.

"Tiada apa perlu diumumkan, Saya sudah bercakap dengan pemain saya mengenainya. Tiada apa perlu didedahkan. Kami sedang menghadapi situasi ini.

"Selebihnya adalah di antara Mo dan saya. Kami sudah berbincang dan baik-baik sahaja.

"Apa yang boleh saya katakan tentang pemain saya adalah mereka amat berdisiplin. Secara umumnya, pemain bola sepak sememangnya amat berdisiplin," katanya.