Sadio Mane mendedahkan Jurgen Klopp pernah menggelarnya seperti penyanyi rap ketika pengendali itu menolak peluang untuk mendapatkan khidmatnya di Borussia Dortmund.

Klopp menolak untuk membawa masuk Mane ketika di Dortmund, kelab yang diuruskan dari 2008 sehingga 2015, sebelum mendakwa keputusan itu salah kesilapan.

Mane berpendapat pengurus Liverpool itu membuat silap, berjenaka mengenai cara Klopp berdepan dengannya ketika itu.

"Dia mendakwa saya seperti penyanyi rap!" katanya.

"Namun, saya fikir saya telah berikan yang terbaik, jadi apa lagi perlu dikatakan? Itu sebahagian hidup, anda tidak tahu bagaimana untuk berurusan dengan orang ramai. Namun, saya fikir dia salah, itu sudah pasti.

"Ia satu pengalaman untuk saya. Saya tahu perlu buktikan kepadanya sehingga kami bertemu semula."

Di Liverpool, Mane berkembang menjadi salah seorang penggempur terbaik dunia di bawah bimbingan Klopp.

Mane memuji kepercayaan pengendali Jerman itu terhadap pemain, menekankan kebangkitan The Reds ke atas Barcelona dalam separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.

"Apa yang membuatkan dia istimewa adalah tidak pernah berhenti percaya," katanya.

"Dalam mesyuarat sebelum perlawanan, dia meyakinkan kami mampu melakukannya walaupun tanpa dua pemain terbaik dunia, Mohamed Salah dan Roberto Firmino.

"Dia mendapatkan aksi terbaik daripada pemain dan cuba menarik keluar tekanan daripada kami."