Jurgen Klopp percaya beliau sudah melenyapkan keraguan terhadap mereka yang mempersoalkan kualiti pengurusannya pada tahun pertamanya di Liverpool.

Bekas pengurus Borussia Dortmund itu akan meraikan setahun kehadirannya di Anfield pada 8 Oktober, ketika tempoh rehat perlawanan antarabangsa.

Klopp enggan meraikan detik itu dan berkeras agar kakitangan Liverpool tidak membelikannya kek, namun berasakan beliau sudah membuat langkah penting dalam 12 bulan pertamanya di kelab itu.

Beliau memberitahu Liverpool Echo, "Saya kini setahun lebih tua dan selain daripada itu, semuanya dalam keadaan baik.

"Tidak sempurna, tetapi dalam landasan yang betul. Itu yang kami harapkan, itu yang kami katakan.

"Selepas setahun tiba di sini, kita boleh bersembang seperti ini. Sebelum ini, wujud keraguan dan banyak khabar angin mengenai saya.

"Orang akan berkata, sudah jelas beliau merupakan jurulatih yang baik di Dortmund, namun gaya pengurusan Jerman tidak sesuai di sini. Kini keadaan bertambah baik.

"Saya bukan hadir untuk setahun, saya berharap kekal dalam jangka masa yang lama, dan ini bermakna kami perlu menggunakan segala maklumat yang kami ada dan belajar mengenainya.

"Begitulah kehidupan. Mendapatkan pengalaman, belajar mengenainya dan bersedia untuk cabaran seterusnya."

Liverpool mencatatkan lima kemenangan berturut-turut dalam kesemua pertandingan dan yang terbaru, bangkit untuk mengalahkan Swansea City 2-1 dalam aksi liga, Sabtu lalu, untuk meletakkan mereka dua mata di belakang pendahulu, Manchester City.

Bagi Klopp, faktor luar padang di kelab itu telah melangkaui jangkaannya.

Tambahnya, "Saya sukakan kelab ini sebelum saya tiba, namun sebaik berada di sini, ia sangat berbeza.

"Banyak tugas yang dilakukan kelab ini, ia bukan berkenaan dengan sejarah, ia mengenai menjadi sebahagian daripadanya.

"Dan menjadi sebahagian daripadanya adalah menarik."